Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Makan 'colek mangga' antara alasan ingkar PKP di Machang

TINJAUAN | Tahap pematuhan orang ramai terhadap perintah kawalan pergerakan (PKP) di Kelantan semakin positif pada hari ke-13 perintah itu dikuatkuasakan.

Berdasarkan tinjauan di sekitar bandar Kota Bharu pada 25 Mac lalu, kali ini Malaysiakini berkesempatan membuat tinjauan bersama pihak berkuasa untuk melihat dengan lebih dekat tahap pergerakan orang ramai di Daerah Machang termasuk di kawasan-kawasan kampung.

Dalam operasi penguatkuasaan PKP oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang yang dijalankan hari ini, petugas media di bawa ke lokasi sekatan jalan raya dan rondaan ke kawasan-kawasan kampung.

Di sebalik tahap pematuhan semakin meningkat dan mendapat pujian menteri, namun masih ada segelintir penduduk yang mengambil mudah terhadap arahan PKP.

Operasi yang bermula jam 11 pagi diketuai oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Machang, Asisten Superintendan Firdaus Mohd itu antaranya meninjau di Kampung Wakaf Bata, Paloh Rawa, Kampung Pek, Bukit Bakar, Banggol Judah dan Batu 30.

Makan 'colek mangga' (rojak mangga) bersama jiran dan kawan di depan rumah, melepak secara berkumpulan di halaman rumah, dan merayau tanpa tujuan antara aktiviti yang dikesan dilakukan oleh mereka yang ingkar arahan PKP.

Lima individu di Kampung Pek yang sedang leka menjamu colek buah bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak polis.

Namun, pihak polis sempat menahan dan memberi amaran keras supaya tidak mengulangi aktiviti berkumpul sebelum mereka dilepaskan.

Selain itu, seorang remaja yang sedang merayau dengan menaiki motosikal terkejut apabila berselisih dengan pihak polis di Kampung Paloh Rawa.

Remaja belasan tahun itu dilihat cuba menyembunyikan diri di sebalik kawasan semak, namun disebabkan terlalu terkejut dengan kehadiran pihak polis menyebabkan motosikalnya terbabas.

Anggota dan pegawai yang menyertai operasi itu kemudiannya membantu remaja tersebut yang rebah bersama motosikalnya dan diberi amaran supaya mematuhi PKP.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Machang, Ganti Jimmy berkata sepanjang 13 hari tempoh PKP itu pihaknya menahan 10 individu yang didapati langgar arahan berkenaan.

Menurutnya, kesemua mereka yang ditahan berusia antara 13 hingga 46 tahun di sekitar daerah itu.

"Pelbagai alasan yang tidak munasabah diberikan termasuk enggan bekerjasama apabila polis mengarahkan mereka berpatah balik ke kediaman masing-masing.

"Selain itu, ada juga yang sanggup menggunakan alasan untuk mengambil beras di rumah mentua di Pasir Puteh sejauh 30 kilometer, sedangkan bila disiasat, ia hanya sekadar alasan.

"Setakat ini enam daripada 10 yang ditahan sudah didakwa di mahkamah. Kita memberi amaran kepada orang ramai supaya mematuhi PKP dan tidak sesekali keluar tanpa sebarang urusan penting," katanya ketika di pejabatnya selepas operasi tersebut, hari ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS