Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sabung ayam,main sepak raga antara gelagat mereka yang ditahan di Sabah

Individu bersabung ayam dan bermain sepak raga secara berkumpulan adalah antara yang ditahan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini, kata Pesuruhjaya Polis Sabah, Zaini Jass.

Bagi kes sabung ayam, Zaini berkata, ia melibatkan tangkapan seorang lelaki warga emas di Ranau baru-baru ini, manakala kes bermain sepak raga melibatkan sembilan individu di Telupid, semalam.

Beliau berkata individu terbabit adalah sebahagian daripada 40 tangkapan dilakukan di seluruh Sabah sejak PKP dikuatkuasakan mulai 18 Mac lepas.

“Semua orang perlu mematuhi perintah ini. Jangan ingat dia di kawasan pedalaman, dia tidak perlu patuh pada arahan PKP,” katanya ketika ditemui pemberita, di Kota Kinabalu, hari ini.

Dalam pada itu, Zaini berkata, tahap pematuhan rakyat Sabah kepada arahan PKP secara keseluruhannya mencapai 95 peratus iaitu pencapaian yang sangat baik dengan Kota Belud mencatat pematuhan tertinggi berbanding daerah lain di negeri itu.

Rakyat Sabah diingatkan untuk terus mematuhi arahan PKP dan sama sekali tidak keluar sekiranya tidak ada tujuan dan alasan kukuh, katanya.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS