Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Disiplin rakyat penentu PKP dilanjut atau tidak, kata Noor Hisham

Disiplin orang ramai menjadi penentu sama ada perintah kawalan pergerakan (PKP) akan dilanjutkan selepas 14 April, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Noor Hisham berkata, pihaknya ingin memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di negara ini, dan ia hanya boleh dilakukan apabila semua orang patuh kepada PKP.

"Ia bergantung kepada kita. Jika kita semua bersama-sama, dan amalkan duduk di rumah, sementara kami di Kementerian Kesihatan meneruskan kegiatan kesihatan awam dan menjalankan pengesanan kes.

"Kita boleh tingkatkan (jumlah) ujian dan mencari golongan sasaran, periksa mereka dan asingkan mereka di peringkat awal.

"Maka kita boleh putuskan rantaian Covid-19. Jadi untuk dua minggu seterusnya, bergantung kepada anda dan saya. Jika kita semua ada disiplin sosial, saya pasti kita boleh benar-benar ratakan graf (kes baru harian)," katanya ketika sidang media di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan sama ada Kementerian Kesihatan melihat ada keperluan untuk melanjutkan lagi PKP, yang setakat ini dikuatkuasakan sehingga 14 April.

Pada mulanya ia dijadualkan berakhir esok (31 Mac), sebelum Majlis Keselamatan Negara membuat keputusan untuk melanjutkannya.

Noor Hisham berkata, pihak berkuasa hanya boleh membuat penilaian tentang keperluan lanjutan PKP selepas minggu pertama April.

"Jika kita teruskan usaha ratakan graf, dan tiadak kenaikan yang tinggi (kes Covid-19), saya fikir kita boleh keputusan.

"Tetapi sekarang terlalu awal untuk kita buat apa-apa kesimpulan," katanya, apabila ditanya berkenaan kemungkinan PKP dilanjutkan sehingga Ramadan yang bakal tiba kurang sebulan lagi.

Katanya, walaupun jika PKP ditamatkan sebelum Ramadan, mereka yang mahu ke bazar Ramadan masih perlu mengamalkan penjarakkan sosial sekurang-kurangnya satu meter, serta memastikan kebersihan tangan.

Langkah pencegahan seperti itu amat penting untuk memutuskan rantai jangkitan wabak itu, katanya lagi.

Ditanya sama ada Kementerian Kesihatan berpuas hati dengan hasil fasa pertama PKP (8 hingga 31 Mac), Noor Hisham berkata mereka dapati jumlah kes baru pada paras stabil, iaitu antara 150 hingga 200 kes setiap hari.

Katanya, belum ada kenaikan tinggi untuk kes baru seperti yang telah berlaku di beberapa negara.

"Apa yang kita khuatir adalah kenaikan tinggi, mungkin 900 atau 1,000 kes (sehari). Tetapi belum berlaku (di Malaysia). Setiap hari bilangannya sekitar 150 hingga 200 kes," katanya.

Noor Hisham berkata ia dicapai melalui PKP dan pengesanan kes aktif oleh Kementerian Kesihatan, di mana mereka pergi ke komuniti dan mengesan kumpulan berisiko tinggi untuk menjalani ujian Covid-19.

"Bagi setiap 100 (orang yang diperiksa), lapan positif. Ini sebab kita adakan pengesanan kes. Kita kenal pasti mereka, periksa, asingkan dan rawat mereka.

"Jadi selagi (kes baru) dalam kadar 150 hingga 200 kes, maka kita tak akan melihat kenaikan yang tinggi.

"Kenaikan tinggi boleh dilihat di negara lain. Tetapi apa-apa pun, kita sedia hadapi kemungkinan terburuk, dan sebab itulah kita sediakan katil dan hospital sementara," katanya lagi.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS