Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
P Pinang tangguh pembayaran sewa premis perniagaan untuk sebulan

Kerajaan Pulau Pinang dan dua majlis bandaranyanya menangguhkan pembayaran sewa untuk premis perniagaan miliknya untuk sebulan, bagi mengurangkan kesusahan yang dihadapi peniaga susulan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Langkah itu sebahagian daripada pakej bantuan bernilai RM75 juta yang diumumkan Ketua Menteri Chow Kon Yoew pada 25 Mac lalu.

"Kebanyakan yang menyewa premis ini ialah peniaga kecil. Mereka tak perlu bayar sewa untuk April.

"Saya harap pemilik premis perniagaan swasta di Pulau Pinang juga dapat melakukan perkara sama," katanya dalam sidang media yang disiarkan di Facebook hari ini.

Chow turut mengumumkan Pinjaman Tanpa Faedah Kelangsungan Perniagaan Pulau Pinang berjumlah RM30 juta, yang boleh dipohon peniaga kecil dan pemilik Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

"Pinjaman ini bukan saja tanpa faedah tetapi peminjam hanya perlu membuat pembayaran selepas enam bulan mendapat pinjaman," katanya.

Pejabat Chow juga telah menghubungi Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia cawangan Pulau Pinang dan sejumlah lagi dewan perniagaan di negeri itu bagi mendapatkan maklum balas berkenaan bagaimana kerajaan negeri dan sektor swasta dapat bekerjasama untuk membangunkan semula ekonomi negeri.

"Saya juga akan membangkitkan isu kesukaran yang dihadapi majikan dalam PKS.

"Saya akan bangkitkannya ketika sesi khas Majlis Keselamatan Negara berkenaan pengurusan Covid-19 yang akan dipengerusikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin esok," katanya lagi.

Berkenaan penguatkuasaan PKP, mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) yang dipengerusikan Chow hari ini memutuskan beberapa langkah akan dibuat ketika fasa kedua perintah itu.

"Ketika mesyuarat, ketua polis negeri memaklumkan kadar kepatuhan PKP telah mencapai 95 peratus semalam."

Chow juga memberi amaran bahawa tindakan lebih tegas akan diambil bagi mereka yang ingkar, dengan 158 orang telah ditangkap setakat semalam kerana ingkar terhadapnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS