Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua yang akan bermula 1 April ini akan menguatkuasakan pelaksanaan satu orang, satu kenderaan, kata Menteri Kanan dan juga Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob.
"PKP fasa 2 yang akan bermula 1 April ini kita akan meningkatkan dari segi sekatan-sekaran pergerakan ini. Tahap kedua ini kita percaya sudah tentulah ia berbeza dengan cara yang kita lakukan pada tahap pertama.
"Bagaimana pun ingin saya tegaskan di fasa kedua ini masih lagi membenarkan pergerakan.
"Cumanya seperti yang telah dimaklumkan untuk kenderaan persendirian, walaupun dibenarkan membeli bahan makanan dan sebagainya tetapi kita tetapkan satu orang satu kenderaan," katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.
Bagaimanapun, mengulas mengenai operasi kenderaan komersial, Ismail Sabri berkata mereka digalakkan beroperasi dari jam 7 malam hingga 7 pagi.
"Kita memahami masih banyak kenderaan komersial yang melibatkan barangan keperluan dan perubatan kini berada dia atas jalan raya dari pagi hingga ke malam.
“Kita memang membenarkan kenderaan tersebut beroperasi, walau bagaimanapun kerajaan menggalakkan supaya kenderaan atau pengangkutan komersial untuk barangan keperluan ini beroperasi antara jam 7 malam hingga 7 pagi," katanya.
Namun, Ismail Sabri berkata ia bukanlah arahan dari pihak kerajaan.
"Ia adalah digalakkan ya, ia bukan arahan supaya mereka hanya boleh bergerak dari 7 malam hingga 7 pagi tetapi digalakkan.
"Kerana kita dapati ada kenderaan yang memerlukan jangka masa yang panjang untuk beroperasi, mungkin dari Johor Bharu nak ke Perlis, tak boleh selesai (dalam tempoh 12 jam) dan saya difahamkan sampai 17 hingga 18 jam.
“Jadi, kita dah bersetuju pengecualian itu diberikan walaupun kita galakkan beroperasi di waktu malam," katanya.
Selain itu,Ismail Sabri berkata waktu operasi perkhidmatan awam juga kekal dihadkan dari 6.00 pagi hingga 10 pagi, dan dari 5.00 petang hingga 10 malam sahaja, manakala kenderaan persendirian hanya dibenarkan antara pukul 6.00 pagi sehingga 10 malam, termasuk perkhidmatan e-Hailing dan teksi.
Dalam pada itu, Ismail Sabri sekali lagi menegaskan aktiviti riadah dan sosial juga sama sekali tidak dibenarkan dijalankan di tempat-tempat awam mahu pun kawasan persendirian pada fasa kedua PKP ini.
"Kita tak nak membeza-bezakan yang didalam kawasan persendirian dan di luar kawasan tersebut. Undang-undang kita sama, merangkumi kesemua lapisan rakyat. Tidak ada perbezaan dari segi penguatkuasaan undang-undang ini. Oleh itu kita tidak benarkan aktiviti itu dijalankan.
"Tetapi kita ada kelonggaran untuk golongan autisim dan OKU untuk dapatkan terapi seperti yang dinasihatkan oleh pakar. Bagaimanapun, kita juga melarang ia diadakan secara berkumpulan," katanya.
Selain itu, Ismail Sabri turut mengumumkan seramai 828 individu ditahan dalam rondaan dan sekatan jalan raya Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara kerana melanggar arahan PKP semalam.
Menurut Ismail, jumlah tahanan itu menunjukkan polis mengambil tindakan lebih tegas berikutan masih terdapat rakyat yang tidak mematuhi PKP.
Ismail Sabri berkata PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengadakan 1,520 sekatan jalan raya dan melakukan 257,287 pemeriksaan kenderaan.