Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Operasi sanitasi Covid-19 tumpu bandar Simpang Renggam, Kg Sinaran Baru
Diterbitkan:  Mar 29, 2020 9:12 PM
Dikemaskini: 1:12 PM

Bandar Simpang Renggam dekat Kluang dan Kampung Sinaran Baru, Kempas, di Johor Bahru, akan diberi tumpuan dalam Operasi Sanitasi Covid-19 di negeri ini bermula esok, bagi membantu mengurangkan penularan wabak itu.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Ayub Jamil berkata bandar Simpang Renggam dipilih kerana lokasinya yang berdekatan dengan Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Dato’ Ibrahim Majid, yang merupakan kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) manakala terdapat beberapa kes positif di Kampung Sinaran Baru, Kempas.

“Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Johor akan menjadi agensi penyelaras bagi Operasi Sanitasi Awam Covid-19 Negeri Johor manakala kerja-kerja penyemburan akan dilakukan SWCorp,” katanya menerusi kenyataan.

Ayub berkata turut terbabit dalam operasi itu adalah Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Pejabat Kesihatan Daerah serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata selepas pelaksanaan operasi sanitasi di dua kawasan tumpuan berkenaan, semua daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) juga akan melaksanakannya.

Katanya, operasi itu akan diadakan sehingga pandemik Covid-19 berakhir sepenuhnya di seluruh negeri.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS