Presiden MCA, Wee Ka Siong menggesa masyarakat Cina di Malaysia untuk meraikan perayaan Qing Ming yang akan datang di rumah semasa tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).
Dalam hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook beliau petang ini, Menteri Pengangkutan itu berkata upacara penghormatan kepada nenek moyang pada 4 April itu perlu dilakukan di rumah bagi mengelakkan penyebaran wabak Covid-19 dan memecahkan rantaian jangkitan .
Semasa perayaan tahunan itu, masyarakat Tionghua akan menjalankan upacara di kubur untuk menghormati nenek moyang mereka dan memohon kesejahteraan bagi generasi muda.
"Tradisi Cina melaksanakan ritual dan memberi penghormatan kepada nenek moyang kita dan orang tersayang yang telah meninggal dunia semasa Qing Ming adalah sesuatu yang dihormati semua ahli kabinet, termasuk perdana menteri.
"Bagaimanapun, Qing Ming jatuh pada 4 April tahun ini, serentak dengan perintah kawalan pergerakan. Untuk berkesan mencegah penyebaran Covid-19, kami meminta semua rakyat Malaysia untuk tinggal di rumah dan memecahkan rantaian jangkitan.
"PKP yang bermula pada 18 Mac dan dilanjutkan hingga 14 April, adalah perjuangan yang panjang melawan virus ini. Setiap hari, kerajaan bertemu bagi membincang dan memantau perkembangan ini. Kita semua berharap perjuangan ini akan berakhir tidak lama lagi tetapi kita masih perlu bersedia untuk yang terburuk.
"Tanpa mengira latar belakang kaum dan agama kita, kita mesti bersatu dan bekerjasama dengan kerajaan dalam masa yang sukar dan kritikal ini, dengan harapan untuk akhirnya bebas daripada wabak itu," kata anggota parlimen Ayer Hitam berkenaan.
"Apabila krisis kesihatan ini berakhir, kita semua boleh terus menghormati nenek moyang kita di tempat-tempat persemadian mereka tahun depan," kata Wee.
Beliau juga melahirkan rasa terima kasih kepada Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong), semua pertubuhan agama dan kumpulan pengurusan tanah perkuburan yang menyahut seruan kerajaan dengan menggesa orang ramai meraikan Qing Ming dengan cara yang berbeza tahun ini.
Terdahulu Hua Zong, Persatuan Buddhist Malaysia, dan Persekutuan Pertubuhan Agama Tao Malaysia meminta masyarakat Cina mematuhi PKP dengan duduk di rumah ketika menjalankan ritual bagi menghormati nenek moyang mereka semasa festival Qing Min pada 4 April.