Kerajaan telah menyediakan tambahan 19,200 katil untuk semua pesakit Covid-19, termasuk pesakit dalam siasatan (PUI), menurut Kementerian Kesihatan.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia dengan menjadikan institut latihan milik kementerian sebagai pusat kuarantin.
"Pada mulanya kami rancang (sediakan) 3,400 katil. Kita sudah guna institut latihan Kementerian Kesihatan dan ada tambahan 19,200 katil jika kita guna semua institut tersebut.
"Kes positif yang tiada gejala, atau pesakit dengan gejala ringan, akan dipindah ke pusat latihan kita. Hospital akan digunakan untuk kes kritikal dan sederhana.
"Jika kes terus meningkat, kita mungkin guna institut latihan Kementerian kesihatan dan (hospital) sementara di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) yang ada 600 katil," katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.
Noor Hisham berkata, Maeps mula beroperasi sebagai hospital sementara hari ini susulan kepadatan penduduk di Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, katanya lagi, jika bilangan kes baru sampai ke tahap lebih 1,000 sehari, mungkin akan timbul keperluan untuk membuka lebih banyak hospital sementara menggunakan dewan awam atau stadium tertutup.
Beliau berkata, sejumlah 3,000 kakitangan telah ditempatkan di Maeps, manakala 3,500 jururawat dan pembantu pegawai perubatan lagi yang sedang menjalani kursus latihan telah ditugaskan di hospital.
"Kita juga menggalakkan sukarelawan doktor, jururawat dan sebagainya...Untuk tampil ke depan membantu dengan rawatan dan juga kesihatan awam.
"Setakat ini, kita sudah ambil 1,500 (sukarelawan) tetapi ada 1,008 orang yang sedang menunggu untuk ditempatkan. Jadi kita ingin tahu apa kepakaran mereka dan lokasi mereka," katanya.
Maeps merupakan taman agro terbesar di Asia.
Kerajaan telah mewartakan 409 lokasi sebagai pusat kuarantin bagi menghadapi pandemik Covid-19.
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.