Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Main wau, bola antara punca ditangkap polis Kelantan

Bermain wau, bersukan bola sepak dan melepak di kedai kopi adalah antara aktiviti yang dilakukan orang awam sebelum mereka ditahan polis kerana mengingkari perintah kawalan pergerakan (PKP) di Kelantan.

Ketua Polis Kelantan, Hasanuddin Hassan, berkata sehingga hari ini, seramai 94 individu ditahan kerana melanggar PKP.

Katanya mereka yang terbabit berusia di antara 20-an hingga 50-an dengan kebanyakannya ditangkap di sekitar Kota Bharu.

"Antara kesalahan mereka termasuk bermain wau, main bola, melepak di yang jelas melanggar arahan dikeluarkan.

"Daripada jumlah tangkapan itu, ada diantara mereka sudah dihadapkan ke mahkamah. Justeru, kita berharap penduduk di Kelantan patuh dengan arahan," katanya ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) peringkat negeri di Kompleks Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan, dan Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob.

Kata Hasanuddin, memandangkan PKP sudah memasuki hari ke-12, polis Kelantan tidak lagi akan memberi nasihat kepada mana-mana pihak yang mengingkari arahan dikeluarkan kerajaan.

Sebaliknya, kata beliau tangkapan akan terus dibuat ke atas individu yang ingkar.

Sementara itu Hasanuddin berkata, tahap pematuhan rakyat Kelantan kini meningkat kepada 96 peratus.

"Masih ada empat peratus yang masih degil dan kita akan mempertingkatkan kawalan dari semasa ke semasa," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS