Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan, memuji rakyat Kelantan selepas mendapati tahap kepatuhan mereka kepada perintah kawalan pergerakan (PKP) meningkat kepada 96 peratus.

"Alhamdulillah laporan tahap pematuhan PKP rakyat Kelantan sudah mencecah 96 peratus secara umumnya," kata beliau.

Takiyuddin yang juga ahli parlimen Kota Bharu itu juga menganggap ia sebagai pencapaian yang baik.

Justeru beliau menyeru rakyat negeri Kelantan supaya mempertahankan tahap pematuhan berkenaan kerana hanya itu cara untuk semua pihak memutuskan rantaian Covid-19.

Takiyuddin ditemui media selepas menghadiri mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) peringkat Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas sikap sebahagian rakyat Kelantan sebelum ini yang dilihat masih berdegil dengan mengabaikan arahan PKP.

Mengulas mengenai tempoh PKP yang dilanjutkan sehingga 14 April, Takiyuddin berkata, tarikh penguatkuasaan itu sudah diwartakan.

"Oleh kerana timbul isu sambungan kepada PKP ini telah digazetkan atau tidak, menteri kesihatan sudah memaklumkan bahawa sambungan tempoh PKP sudah digazetkan.

"Sebelum ini 18 hingga 31 Mac, dan disambung hingga 14 April di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 432)," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS