Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
K'jaan tubuh pusat pengagihan makanan
Diterbitkan:  Mar 28, 2020 5:00 PM
Dikemaskini: 10:39 AM

Kemaskini 6.30pm | Menteri Pertahanan, Ismail Sabri berkata kerajaan menghargai usaha NGO dalam mengagihkan makanan kepada mereka yang memerlukan ketika perintah kawalan pergerakan (PKP).

Bagaimanapun beliau berkata mereka perlu mengehadkan pergerakan supaya tidak berisiko menyebarkan Covid-19.

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan akan menubuhkan pusat pengagihan makanan yang akan mengumpulkan makanan yang disampaikan NGO sebelum dihantar kepada mereka yang memerlukan.

"Kita pihak kerajan ucap terima kasih atas keprihatinan NGO ini bagi bantu rakyat. Walaubagaimanapun bagi kurangkan pergerakan sewaktu perintah ini dikeluarkan kita tak boleh sebahagian untuk bebas keluar dengan alasan menghantar makanan.

"Oleh itu saya ingin nasihatkan NGO yang ingin membantu seperti hantar bekalan mereka ke pusat-pusat yang diwujudkan Kementerian Wanita iaitu bawah Jabatan Kebajikan di setiap daerah. 

"Pejabat Kebajikan daerah akan digunakan sebagai pusat pengumpulan produk makan untuk dibekalkan kepada penduduk setempat," katanya pada sidang akhbar ni Putrajaya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet mengenai Covid-19.

Beliau berkata anggota Rela dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan diberikan tanggungjawab untuk mengagihkan makanan dari rumah ke rumah.

'Kenapa bebankan lagi petugas barisan depan?'

Bagaimanapun, anggota parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim mempersoalkan keputusan tidak membenarkan NGO mengagihkan sendiri makanan kepada golongan memerlukan.

Sebaliknya, katanya, langkah memberikan tanggungjawab itu kepada anggota Rela dan APM akan membebankan lagi tugas mereka selaku barisan petugas hadapan.

"NGO-NGO dan team wakil rakyat (semua parti politik terlibat) depa pakai mask, buat social distancing, ada siap pakai glove.

"Hari ini, menteri suruh jangan keluar edar makanan. Suruh NGO kasi bekalan kepada JKM, dan kemudian anggota Rela dan APM akan buat agihan.

"Boss (saya) bukan apa, tapi boss pengarah Penang Lawan Covid-19, tengok macam mana frontliners dah letih bekerja teruk. Ni nak suruh lagi depa urus logistik kutip barang, jaga stok, dan hantar bekalan? 

"Adakah menteri tahu benda ini semua?" soalnya dalam hantaran di Facebook.

Di bawah PKP, perniagaan dan perkhidmatan yang tidak penting diarahkan ditutup dan orang tidak digalakkan meninggalkan rumah kecuali untuk perkara penting seperti mendapatkan bekalan makanan.

Ini memberi kesan teruk kepada golongan B40 kerana mereka tidak memperoleh pendapatan sepanjang PKP.

Oleh itu sesetengah mereka bergantung kepada makanan yang dibekalkan oleh pertubuhan-pertubuhan kebajikan. 

PKP berkuat kuasa pada 18 Mac dan dijadual berakhir pada 31 Mac tetapi dilanjutkan hingga 14 April. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS