Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
T'ganu lancar tabung Covid-19 bantu golongan terjejas

Kerajaan negeri hari ini melancarkan Tabung Bantuan Covid-19 Terengganu bagi memberi peluang kepada semua pihak tampil membantu rakyat yang terjejas akibat penularan wabak itu.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata bagi menunjukkan kesungguhan serta komitmen kerajaan terhadap inisiatif itu, beliau serta 10 exco kerajaan negeri telah bersetuju memotong 50 peratus daripada dua bulan gaji untuk disumbangkan kepada tabung berkenaan.

"Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang disambung lebih lama pastinya akan memberi kesan besar kepada aspek sosioekonomi rakyat di negara ini.

"Oleh itu, saya merayu supaya lebih ramai penderma termasuk pihak korporat dan syarikat swasta tampil membantu meringankan beban rakyat yang terjejas," katanya dalam kenyataan dalam laman Facebook rasmi Menteri Besar, hari ini.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Bank Islam Malaysia Berhad bernombor 13017010034566 atas nama Tetuan Akauntan Negeri Terengganu dan setiap sumbangan layak mendapat potongan cukai mengikut tatacara garis panduan ditetapkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Mengenai Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, Ahmad Samsuri menyifatkannya sebagai bantuan secara menyeluruh dan mampu memberi kelegaan kepada golongan rakyat terkesan akibat penularan Covid-19.

Beliau, bagaimanapun berkata aspek lebih penting perlu dipastikan ialah pelaksanaan yang telus, adil dan pantas bagi memastikan semua rakyat tanpa mengira latar belakang politik dan kaum mendapat manfaat itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS