Bekas menteri wanita, keluarga dan pembangunan masyarakat Wan Azizah Wan Ismail dan bekas timbalannya, Hannah Yeoh menggesa agar elaun khas yang diumumkan kerajaan dalam pakej rangsangan ekonomi semalam turut diberikan kepada pekerja kebajikan.
"Kami dapati warga kerja Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang juga terlibat secara langsung dalam pelaksanaan PKP (perintah kawalan pergerakan) tiada dalam senarai yang diumumkan itu. Mungkin kerajaan terlepas pandang akan peranan JKM.
"Kami berharap warga kerja JKM yang terlibat dalam pelaksanaan PKP ini juga akan menerima elaun khas ini," kata mereka dalam satu kenyataan bersama.
Jelas kedua-dua pemimpin PH itu, warga kerja JKM yang menjalankan tugas-tugas penguatkuasaan PKP perlu diiktiraf sebagai petugas barisan hadapan.
Justeru, kata mereka, kerajaan perlu menyediakan peralatan perlindungan yang sesuai untuk pekerja JKM demi melindungi mereka daripada Covid-19.
Semalam, Muhyiddin mengumumkan elaun khas sebanyak RM200 kepada polis, kastam, imigresen, pertahanan awam dan kakitangan Rela yang terlibat dalam menguatkuasakan PKP.
Elaun khas itu adalah sebahagian daripada pelan rangsangan RM250 bilion yang bertujuan menyediakan bantuan ekonomi kepada golongan yang terjejas dengan Covid-19.
Tempoh PKP yang bermula pada 18 Mac lalu dan pada mulanya dijadual tamat 31 Mac dilanjutkan dua minggu lagi sehingga 14 April.