Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Industri hotel perlukan lebih rangsangan ekonomi - MAH
Diterbitkan:  Mar 27, 2020 8:32 PM
Dikemaskini: 12:32 PM

Persatuan Hotel Malaysia (MAH) berkata bahawa pakej rangsangan yang diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini kurang daripada yang dijangkakan dalam mengurangkan kesan Covid-19 terhadap industri perhotelan.

Presiden MAH Kamaruddin Baharin berkata bahawa mereka telah mencadangkan subsidi gaji minimum RM1,000 kepada pekerja hotel atau sekurang-kurangnya bersamaan dengan 50 peratus gaji bulanan pekerja bagi tempoh enam bulan.

"Subsidi gaji yang diumumkan sebanyak RM600 sebulan selama tiga bulan, untuk pendapatan pekerja di bawah RM4,000 sebulan, diperlukan tetapi kurang daripada apa yang diharapkan oleh industri.

"Industri hotel khususnya, sebelum ini mencadangkan minimum RM1,000 bagi setiap pekerja, atau sekurang-kurangnya 50 peratus daripada gaji bulanan pekerja untuk tempoh enam bulan.

"Ia bagi mengurangkan kesan kurangnya kadar penghunian hotel untuk beberapa bulan akan datang apabila mengambil kira keadaan di seluruh dunia," katanya dalam satu kenyataan.

Persatuan itu menyatakan kadar purata penghunian hotel di Malaysia tidak lebih daripada 25 peratus pada bulan Jun, sekiranya perintah kawalan pergerakan (PKP) berakhir pada 14 April.

Menurut MAH, 2,041 pekerja industri perhotelan telah diberhentikan kerana tekanan ekonomi dan PKP, sementara 9,773 diberikan cuti tanpa gaji, dan 5,054 telah mengambil potongan gaji.

MAH juga berkata ia telah meminta pihak bank untuk mengetepikan faedah bagi penangguhanselama enam bulan, dan meminta KWSP untuk mengurangkan sumbangan KWSP majikan, yang mana tidak termasuk dalam pakej rangsangan yang diumumkan Muhyiddin hari ini.

"Kami perlu cuba terus berkerja dengan apa yang diberikan sekarang, dan kami akan terus terlibat dan mengemas kini kerajaan mengenai keadaan di lapangan, jika inisiatif membantu atau jika hotel masih terpaksa ditutup dengan tekanan ekonomi seumpama ini yang tidak pernah berlaku sebelum ini," tambah Kamaruddin.

Beliau berkata industri hotel akan terus menghadapi cabaran apabila mengambil kira keadaan negara lain yang turut terjejas dan mengenakan sekatan perjalanan.

Bagaimanapun, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Nancy Shukri, dalam satu kenyataan, percaya bahawa pakej rangsangan itu akan memberi manfaat kepada industri pelancongan.

"Tidak ada yang ketinggalan dalam pengumuman perdana menteri baru-baru ini .. Saya percaya inisiatif ini akan meringankan bebanan (pemain industri) dan memberi mereka motivasi untuk merancang dan melancarkan strategi untuk memulihkan ekonomi, terutamanya pelancongan dan budaya," katanya.

Muhyiddin hari ini mengumumkan pakej berjumlah RM250 bilion untuk membantu rakyat Malaysia menghadapi pandemik Covid-19 dan kesan selepas perintah kawalan pergerakan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS