Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
‘Kita boleh lawan virus ini!’ - rakyat solat hajat bersama

Hari ini adalah kali kedua solat Jumaat di seluruh negara digantikan dengan solat Zohor di rumah masing-masing, susulan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa sejak 18 Mac lalu.

Setelah pelbagai pihak - termasuk Yang di-Pertuan Agong - hari ini mengajak umat Islam menunaikan solat hajat memohon pertolongan Allah dalam menghadapi wabak Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad Al-Bakri menunaikan solat hajat tengah hari tadi, setelah mengerjakan solat Zohor secara berjemaah bersama beberapa makmum yang tetap menjaga jarak sosial sesama mereka.

Solat Hajat dan Munajat Perdana itu merupakan satu usaha bersama umat Islam seluruh negara yang turut diminta menunaikannya di rumah masing-masing secara serentak.

Ia turut disiarkan secara langsung di Facebook TV Al-Hijrah dan Facebook Zulkifli sendiri, selain di beberapa laman media lain.

Mencari hikmah

Dalam temu bual selepas solat hajat berkenaan, Zulkifli menitipkan nasihat agar seluruh rakyat bermuhasabah diri, bersabar dan mencari hikmah tersembunyi di sebalik musibah yang melanda.

Memetik ayat 155 dari surah Al-Baqarah, katanya, di kala Allah memberikan ujian dalam bentuk rasa takut, kelaparan, kekurangan harta benda, jiwa raga, dan hasil tanaman, hanya orang-orang yang sabar akan mendapat khabar yang gembira.

“Dalam saat seperti ini, saya mempunyai satu pendapat kita tak lagi perlu menyalahkan si polan si polan, kerana demikian kerana demikian ,tapi apa yang diajar oleh Allah (adalah) kita muhasabah diri dengan kita menghaisai diri kita dengan kesabaran, dan sentiasa mencari keredhaan Allah.

“[...] Dalam saat seperti ini, bila kita yakin bahawa di sebalik sesuatu itu penuh dengan hikmah yang kebanyakannya tak terjangku di akal kita, tapi kalau kita mengambil dalam bentuk sisi positif, kita akan dapat banyak hikmahnya,” katanya.

Siaran langsung solat hajat itu ditonton meluas di media sosial, dan ada pautan yang mendapat lebih 150,000 tontonan, dan ada pula yang dikongsi lebih 2,000 kali di media sosial.

Rata-rata penonton maya juga sempat meninggalkan komen mengaminkan doa yang dibacakan Zulkifli, dan ramai juga berkongsi bahawa mereka tidak ketinggalan turut menunaikan solat hajat bersama.

Aura hebat

Bagi Ahmad Faradi Abd Ghapar, 34, yang mengerjakan solat hajat bersama isteri dan dua anaknya yang masih kecil (masing-masing lapan dan lima tahun) di kediaman mereka di Hulu Langat, dia meluahkan keyakinan terhadap ikhtiar yang dianjurkan itu.

“Kita mempunyai satu perasaan yang sama, niat yang sama, (solat) pada waktu yang sama, Allah mesti lihat kesungguhan itu. Siapa yang buat, insya-Allah akan rasa satu aura yang hebat.

“Akan datang, selepas ini, kalau Covid-19 ini hilang atau tak hilang, kita tak tahu apa jangkaan seterusnya. Yang membezakan adalah doa rakyat kita semua. Biar bersatu hati, itu yang menguatkan (sesama kita),” kata peniaga katering itu kepada Malaysiakini.

Bagi pengusaha kecantikan, Irda Irzan Binti Daud, 38, yang mengerjakan solat hajat di rumahnya di Bandar Penawar, Johor, dia cuba untuk kekal bersikap positifi meskipun mengakui berasa sedih dengan situasi yang melanda negara kini.

“Saat solat berjemaah tadi memang sebak, sedih dengan situasi Covid-19 sekarang. Tapi dalam masa sama saya cuba positifkan diri saya dan anak-anak, mungkin selepas ini ada macam-macam hikmah yang kita dapat.

“Harapnya ada kejaiban dari Yang Maha Esa, tapi dalam masa sama kita semua mesti taat (pada arahan) yang telah diperintahkan sepanjang PKP,” kata ibu tunggal yang mengerjakan solat hajat bersama dua anak perempuannya- masing-masing berusia 16 dan 13 tahun.

Hiba dan sebak

Mereka yang tinggal sendirian turut tidak melepaskan peluang berkenaan, seperti pekerja swasta, Mohd Shuhail Mohd Rone, 30, yang menunaikan solat hajat di rumah sewanya di Cheras.

“Perasan hiba dan sebak apabila solat sendirian. Ketika sujud terakhir, diulangi bacaa doa Nabi Yunus sebanyak sebelas kali.

“Harapan saya supaya kita sama-sama harungi ujian Allah ni, dengar dan patuh arahan pihak kerajaan dan saya harap wabak Covid-19 berlalu pergi bila tiba ramadhan lebih kurang 28 hari lagi,” kongsinya.

Bagi penolong pengurus, Ahmad Faeez Zulkipli, 33, pengalaman solat hajat bersama isteri dan dua anak perempuannya- masing-masing berusia tiga dan dua tahun- benar-benar membuatkan dia mengalami perasaan yang bercampur-baur.

Musibah menyatukan keluarga

“Sedih, terharu, gembira. Saya pun pertama kali solat bersama dengan anak-anak yang dua orang itu, solat hajat pula tu. Secara tak langsung musibah ini menyatupadukan keluarga saya, dan satu rakyat Malaysia,” katanya yang menunaikan solat sunat itu di kediamnnya di Cyberjaya.

Kata Faeez, dia berharap keadaan menjadi lebih baik buat Malaysia, namun menyatakan keyakinannya bahawa perang melawan wabak itu mampu dimenangi oleh rakyat.

“Saya berharap sangat agar setiap rakyat Malaysia memainkan peranan masing-masing, duduk di rumah dan hadkan pergerakan luar.

“Insya-Allah, kita sama-sama boleh lawan virus ini. Yang paling penting, jangan ada orang yang pentingkan diri sendiri. Kita bersama-sama dalam keadaan ini. Insya-Allah, kita boleh lawan,” katanya lagi.

PKP yang bermula 18 Mac, berbaki 18 hari lagi sebelum tamat pada 14 April nanti.

Covid-19 setakat hari ini telah menjangkiti 2,031 orang dan meragut 24 nyawa. Seramai 45 orang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) buat masa ini, manakala 215 telah pulih dan dibenarkan pulang.

Dalam perkembangan terbaru setakat petang ini, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin baru saja mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat berjumlah RM250 bilion bagi membantu rakyat di semua peringkat berdepan dengan kesan PKP dan Covid-19.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS