Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan program subsidi upah bernilai RM5.9 bilion akan memberi manfaat kepada 3.3 juta rakyat Malaysia yang hilang kerja akibat penularan wabak Covid-19.
Dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin sebanyak RM250 bilion, beliau berkata kerajaan akan menyediakan upah sebanyak RM600 sebulan bagi setiap pekerja untuk tempoh tiga bulan.
"Saya tidak mahu lihat pekerja dibuang kerja dan hilang pendapatan.
"Program ini dikhususkan kepada pekerja yang berpendapatan di bawah RM4,000 dan majikan yang mengalami penurunan pendapatan lebih 50 peratus sejak 1 Januari 2020.
"Majikan mesti memastikan mereka tidak membuang pekerja atau mengarahkan mereka mengambil cuti tanpa gaji bagi tempoh tiga bulan selepas program ini dilaksanakan," katanya.
"Selain itu, majikan juga tidak dibenarkan memotong gaji sedia ada pekerja," tambahnya.
Selain itu, Muhyiddin juga mengumumkan bahawa pemandu e-hailing yang terjejas selama empat minggu akibat perintah kawalan pergerakan (PKP), yang bermula pada 18 Mac, akan diberikan bantuan secara one-off sebanyak RM500.
Bantuan ini dijangka memberi manfaat kepada 120,000 pemandu e-hailing dengan peruntukan sebanyak RM60 juta.
Pemandu teksi juga akan menerima bayaran one-off sebanyak RM600 mulai 1 April 2020.
Sementara itu, kerajaan bersetuju untuk membayar gaji yang ditanggung oleh kontraktor perkhidmatan seperti perkhidmatan pembersihan dan bekalan makanan bermasak di sekolah, IPTA, institusi latihan awam serta agensi-agensi lain kerajaan termasuk badan berkanun yang terlibat sepanjang tempoh PKP walaupun pekerja tidak hadir bekerja.
Muhyiddin berkata lebih 80,000 pekerja akan menerima manfaat daripada inisiatif ini yang melibatkan peruntukan berjumlah RM110 juta.
"Selain itu, kerajaan juga bersetuju untuk memanjangkan tempoh kontrak perkhidmatan yang berkenaan selama sebulan sebagai trade-off dengan tempoh PKP," katanya.
Katanya, KWSP akan memperkenalkan program Khidmat Rundingan Majikan pada 15 April 2020.
"Perkhidmatan ini merangkumi pilihan penangguhan bayaran, penstrukturan dan penjadualan semula sumbangan majikan.
"Langkah ini dijangka memberikan penjimatan aliran tunai kepada majikan yang dianggarkan berjumlah RM10 bilion. Inisiatif ini akan memanfaatkan lebih 480,000 PKS dan syarikat yang terjejas, di samping menyelamatkan lebih 8 juta pekerjaan," katanya.