Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Internet percuma dari April hingga tamat PKP
Diterbitkan:  Mar 27, 2020 3:48 PM
Dikemaskini: 10:15 AM

Kerajaan akan menyediakan perkhidmatan internet percuma kepada semua pelanggan bermula 1 April 2020 sehingga tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) tamat.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat hari ini berkata bahawa kerajaan telah memperuntukkan RM600 juta untuk pakej khas ini dengan kerjasama syarikat-syarikat telekomunikasi.

Selain itu, tambahan RM400 juta akan dilaburkan untuk meningkatkan liputan dan keupayaan rangkaian bagi mengekalkan ketersediaan dan kualiti rangkaian telekomunikasi yang tinggi dan mampan.

Muhyiddin hari ini turut mengumumkan tambahan peruntukan sebanyak RM530 juta lagi untuk memberikan diskaun bil elektrik berperingkat antara 15 peratus hingga 50 peratus mengikut penggunaan kadar elektrik dengan had maksimum 600 kilowatt sebulan.

Diskaun 50 peratus akan diberikan kepada penggunaan elektrik bawah 200 kilowatt, 25 peratus bagi penggunaan antara 201 hingga 300 kilowatt dan 15 peratus bagi penggunaan 301 hingga 600 kilowatt.

Diskaun ini akan berkuat kuasa bagi tempoh enam bulan mulai bil bulan April 2020.

Sementara itu, diskaun sebanyak 2 peratus seperti dimaklumkan sebelum ini akan terus dinikmati oleh semua pengguna isi rumah.

Dalam pakej rangsangan ekonomi yang lepas, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM500 juta bagi tujuan pemberian diskaun 15 peratus ke atas bil elektrik sektor pelancongan dan 2 peratus bagi sektor komersial, industri, pertanian dan isi rumah di Semenanjung Malaysia mulai 1 April 2020.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS