Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Simpanan stok mesti ditambah agar tahan hingga setahun’

ULASAN | Badan Bertindak Selamatkan Industri Padi dan Beras (Padi Rescue) memantau rapat perkembangan keadaan krisis wabak Covid 19 dan keterjaminan bekalan makanan negara (food security).

Telah lama kami nyatakan bahawa tindakan untuk memastikan keterjaminan bekalan makanan sebenarnya perlu bermula sejak awal lagi sewaktu keadaan aman.

Namun masih belum terlambat untuk kerajaan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) melakukan tindakan segera bagi menangani kejadian yang tidak diingini akibat daripada krisis bekalan makanan ketika pandemik seperti ini.

Sehingga 25 Mac kita sudah dapat lihat beberapa negara telah melaksanakan tindakan melindungi keterjaminan bekalan makanan dalam negara masing-masing dengan melaksanakan arahan pemberhentian eksport untuk sementara iaitu Vietnam (beras), Khazakhstan (tepung gandum) dan Serbia (minyak masak dan barangan keperluan harian).

Rusia juga sedang mempertimbangkan larangan eksport bergantung kepada perkembangan semasa.

Kejadian krisis bekalan beras dunia pada tahun 1974 dan 2008 mempunyai punca yang sama iaitu negara pengeluar mengenakan larangan eksport kerana berlaku kekurangan pengeluaran akibat cuaca dan spekulasi harga.

Dalam keadaan krisis, bekalan simpanan stok beras negara dan bekalan beras di pasaran seharusnya dapat bertahan selama tiga bulan. Ia memadai untuk tempoh perintah kawalan pergerakan ini.

Namun, jika didapati jumlah sebenar stok tidak mencukupi atau krisis ini akan berpanjangan, pihak kerajaan mesti segera melaksanakan misi membawa masuk bekalan beras melalui saluran kerajaan kepada kerajaan untuk melangkau larangan eksport atau membawa masuk bekalan dari negara lain.

Seorang rakyat unakan 80kg beras setahun

Isu ini adalah sama atau lebih kritikal dengan isu kekurangan topeng muka medikal yang menyebabkan kerajaan sendiri perlu membeli secara terus daripada China.

MKN tidak boleh terlalu bergantung kepada pihak swasta kerana pengalaman krisis bekalan beras tahun 2008 membuktikan kelemahan pihak swasta untuk mewakili kerajaan dalam rundingan membawa masuk bekalan beras, menyebabkan kerajaan perlu masuk campur pada saat akhir dan menyebabkan kerugian ratusan juta ringgit.

Statistik daripada Kementerian Pertanian menunjukkan seorang rakyat Malaysia akan menggunakan 80kg beras setahun.

Kami berpendapat jumlah simpanan stok ini mesti ditambah agar dapat bertahan selama enam bulan hingga setahun lebih-lebih lagi dengan ramalan kemelesetan ekonomi pasca-Covid 19 di seluruh dunia.

Faktor lain yang menjamin jaminan bekalan makanan kepada semua rakyat adalah pengedaran dan logistik beras yang adil.

Pada ketika ini bekalan beras diedarkan mengikut permintaan pasaran terutamanya ke kawasan bandar.

Andai kata krisis makanan berlaku, MKN mesti memastikan bekalan makanan diedarkan mengikut keperluan setiap daerah, mukim/bandar dan kampung/taman perumahan termasuklah ke kawasan pendalaman Orang Asli serta Sabah dan Sarawak.

Jika tidak, pembelian panik akan menyebabkan bekalan dibekalkan berlebihan di kawasan bandar.

Kejadian pembelian pukal oleh individu tidak bertanggungjawab telahpun mula dilihat berlaku di lembah Klang.

Pada ketika tempoh krisis ini, harga juga perlu dikawal terutamanya beras import yang sekarang ini tidak ada harga syiling.

Harga beras tempatan perlu dikekalkan sebanyak RM2.60 sekilo - yang masih memadai melainkan jika ekonomi keluarga didapati benar-benar teruk terjejas.

Penubuhan semula Lembaga Padi dan Beras Negara

Tidak ada mekanisme yang lebih baik bagi menghadapi krisis bekalan makanan di masa akan datang melainkan pelaksanaan polisi 100 peratus tahap sara diri (SSL).

Kerajaan mesti berhenti melayan industri makanan terutama beras sebagai industri komoditi perdagangan.

Ketika ini target SSL diletakkan pada 75 hingga 80 peratus bagi membuka ruang pertukaran perdagangan komoditi dengan kelapa sawit dan lain-lain.

Bermula daripada musim menanam padi akan datang pada hujung bulan April, kerajaan mesti memikirkan insentif dan projek-projek baharu untuk menambah pengeluaran beras tempatan kepada 100 peratus SSL.

Oleh itu kerajaan perlu mengambil iktibar dari pandemik Covid 19 yang tidak diduga ini dan serius mempertimbangkan cadangan penubuhan semula Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) dengan fungsi baharu iaitu sebagai gate keeper bekalan beras import dan juga menyelaras aktiviti industri jaminan bekalan makanan ruji negara.

Konflik kepentingan pihak swasta persendirian untuk memastikan syarikat sentiasa untung tidak memungkinkan objektif ini tercapai.


NUR FITRI AMIR MUHAMMAD ialah koordinator, Badan Bertindak Selamatkan Industri Padi dan Beras Negara (Padi Rescue) - yang yang dianggotai oleh para pesawah padi, pengilang dan pemborong beras serta NGO petani dan sosial. NGO ini memperjuangkan 100 peratus SSL bagi beras dan perubahan sistem keterjaminan bekalan makanan serta mengangkat hak-hak dan kebajikan petani.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS