Paling Popular
Terkini

Kerajaan negeri Melaka memberikan bantuan khas kit makanan dan penangguhan bil air bagi pengguna domestik yang terjejas ekoran penularan pandemik Covid-19, kata Ketua Menterinya Sulaiman Md Ali.

Beliau berkata dua inisiatif itu adalah tambahan kepada beberapa inisiatif yang telah diumumkan kerajaan negeri sebelum ini bagi mengurangkan beban rakyat negeri itu khususnya golongan sasar.

Katanya sebanyak 1,000 kit makanan terdiri daripada beras, minyak masak, tepung, biskit kering, gula dan sardin akan diedarkan kepada penerima yang layak di 28 Dewan Undangan Negeri pada hujung minggu ini.

"Bantuan khas kit makanan Covid-19 ialah bantuan 'one-off' yang akan diuruskan Pejabat Tanah dan Daerah dan syarat permohonan ialah warganegara Malaysia, berpendapatan RM3,000 ke bawah dan bekerja sendiri atau gaji harian.

"Permohonan boleh dibuat melalui atas talian atau secara terus di Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri masing-masing," katanya menerusi kenyataan di Melaka, hari ini.

Beliau berkata penangguhan bayaran bil air bagi pengguna domestik adalah bagi bulan Mac dan ia dijangka akan memberi manfaat kepada 260,000 isi rumah di Melaka.

Sementara itu, katanya orang ramai terutama syarikat korporat atau firma swasta di Melaka dipelawa memberi sumbangan kepada kerajaan negeri bagi membantu meringankan beban rakyat akibat wabak Covid-19.

Sulaiman berkata sumbangan boleh disalurkan melalui cek atau Pemindahan Dana Elektronik (EFT) kepada Bendahari Negeri (Maybank Islamic: 554026000401) atau Pegawai Kewangan Negeri Melaka-Tabung Bencana Negeri (Maybank Islamic: 554110500466).

Beliau berkata bagi sumbangan secara EFT, penyumbang diminta memastikan bayaran sumbangan yang dibuat seperti berikut: COVID19/namapenyumbang/nombortelefon.

"Pihak Bendahari Negeri akan mengeluarkan resit rasmi atas sumbangan tersebut dan sumbangan itu layak mendapat potongan cukai di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967," katanya.

Beliau berkata notifikasi sumbangan juga boleh diemelkan kepada [email protected] bagi tujuan pengeluaran resit rasmi.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS