Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pekebun buah-buahan turut terjejas teruk dek Covid-19

Para pekebun dan pemborong buah-buahan turut merasai keperitan di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) apabila terpaksa membuang beratus-ratus tan bahan itu disebabkan rantaian bekalan yang terganggu.

Pengerusi Persatuan Pekebun Buah-buahan Selangor dan Kuala Lumpur, Jeffrey Choong, berkata lebih daripada 10,000 tan buah-buahan dibuang di Lembah Kelang semenjak PKP dikuatkuasakan.

Menurutnya, hasil pengeluaran pekebun pula hanya 50 peratus berbanding dengan waktu biasa walaupun bekalan makanan adalah sebahagian daripada perkhidmatan keperluan (essential service) mengikut Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, hal itu berlaku kerana pekebun keliru ekoran peraturan dan syarat yang tidak jelas pada peringkat awal dulu.

Justeru, kata Choong, ramai pemandu lori tidak berani beroperasi dan banyak pasar yang tutup.

"Walaupun kerajaan sudah menjelaskan situasi dan memberi jaminan bahawa pekebun dan petani masih dibenarkan berfungsi, namun hasil pengeluaran telah turun secara mendadak," katanya.

“Banyak hasil tanaman pekebun tersekat secara tiba-tiba apabila PKP dilaksana. Maka kita terpaksa membuang hasil itu kerana ia memang tidak dapat disimpan lama,” tambahnya.

Nak buah tapi tiada di pasaran

Biasanya, jelas Choong, buah-buahan mampu bertahan selama seminggu atau lebih - sehingga tiga minggu - sekiranya dapat disimpan dalam peti ais.

Namun katanya disebabkan ruang penyimpanan yang terhad, tidak semuanya buah-buahan tersebut dapat disimpan dengan cara sedemikian.

Tambahnya, industri pertanian turut bergantung kepada pembekalan baja, racun, kilang pemprosesan, dan bengkel membaik pulih kenderaan.

Bagaimanapun, katanya sektor sampingan itu terpaksa berhenti beroperasi di bawah PKP, sekali gus memberi kesan negatif secara tidak langsung terhadap pembekalan buah-buahan.

“Ramai pengguna yang ingin membeli buah, tapi di pasaran tiada bekalan. Semuanya disebabkan arahan atasan tidak sampai ke bawah, dan cara pelaksaan yang bermasalah apabila sesuatu polisi dikenakan.

“Saya sendiri juga rugi berpuluh ribu ringgit, tapi masih kena bekerja, kami tak mahu orang ramai tak dapat makan buah,” tambahnya.

Menurut Choong, tidak semua pekebun berani tampil untuk mengadu masalah mereka kepada persatuan kerana bimbang terhadap penguatkuasaan kerajaan.

“Ada antara mereka takut, tak berani bagitahu berapa rugi yang ditanggung. Oleh itu, maklumat yang kami ada pun tidak lengkap," katanya.

Dia juga percaya kerugian yang dialami - kerana terpaksa membuang buah-buahan - tidak terhad dalam kalangan pekebun di Selangor dan Kuala Lumpur saja sebaliknya turut melibatkan negeri lain.

Jumlah jualan masih terhad

Bagi memperbaiki masalah rantaian bekalan, Choong memberitahu, persatuannya menghantar surat kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) untuk mencari jalan penyelesaian.

Bagaimanapun, katanya tiada maklum balas diterima setakat ini.

“Kami semua - termasuk petani dan pekebun - sedia untuk duduk berbincang dan mencari cara penyelesaian. Kalau tidak boleh jumpa pun (sebab ancaman Covid-19) kami boleh buat mesyuarat secara dalam talian.

"Isu ini sangat serius, macam mana kami nak bersabar?" keluhnya.

Buat masa ini, katanya, bagi mengatasi kekangan itu sesetengah pemborong ada membuat penjualan melalui media sosial namun ia masih terbatas kerana jumlah yang dapat dijual terhad.

Sementara itu, pengusaha yang bekerjasama dengan Choong, Erik Ong, berkata dia bersama kawan-kawannya sedang berusaha melancarkan laman sosial “e-petani” bagi membantu petani dan pekebun di Lembah Klang mempromosi hasil tanaman masing-masing secara dalam talian.

Peniaga dari Taman Tun Dr Ismail itu juga menjelaskan terdapat sekurang-kurangnya 20 pekebun dan petani akan membekalkan hasil tanaman mereka untuk laman sesawang itu dan tempahan akan dibuat melalui perkhidmatan Grab bagi mengelakan kontak rapat antara manusia.

“Harganya pasti jauh lebih rendah dari pasaran kerana tujuan utama kami adalah untuk melariskan produk tanaman dan mengelakkan pembaziran.

“Sekiranya hasil jualan mencapai sasaran, kami akan membekalkan sayur dan buah-buahan percuma kepada petugas barisan hadapan seperti jururawat, doktor dan anggota polis,” katanya.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan kebanyakan petani dan pekebun meluahkan rasa kecewa kerana terpaksa membuang hasil tanaman mereka akibat peraturan PKP yang mengehadkan operasi pasar raya dan pergerakan orang ramai.

Malah, ada petani mendakwa mereka terpaksa membuang beberapa tan sayur dan bisnes pula merudum sehingga 30 peratus.

Sebelum ini, Pengarah Strategi PKR Sim Tze Tzin mendakwa terdapat kes pembuangan hasil pertanian di Johor dan Cameron Highlands dalam tempoh PKP.

Beliau turut menyeru kerajaan supaya mengambil langkah drastik nagi mengatasi kerugian yang dihadapi oleh petani sepanjang tempoh PKP.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Mazlan Lazim pula meminta pekerja khususnya di sektor pertanian supaya lebih bersabar sepanjang tempoh PKP.

Jelasnya, pihak berkuasa hanya menggesa pekerja sektor pertanian untuk mengurangkan tenaga kerja bukan menghalang untuk berniaga.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS