Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Zero Hunger tekad sedia makanan setiap hari bagi petugas barisan depan

Semua petugas barisan hadapan kini berdepan detik sukar dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19 di seluruh negara.

Malah, ada antara mereka terpaksa bertugas lebih 12 jam sehari.

Dalam usaha meraikan kumpulan itu, sekumpulan sukarelawan Zero Hunger bertekad menyediakan bekalan makanan kepada semua petugas barisan hadapan itu setiap hari.

"Semua anggota polis dan anggota barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi kawasan Sepang, Dengkil, Putrajaya dan Cyberjaya akan dapat bekalan makanan setiap hari.

"Selagi misi (bantuan) kepada B40 belum habis, selagi itu barisan hadapan akan dapat bantuan ini (bekalan makanan)," kata ketua sukarelawan Zero Hunger, Mohd Shahrul Nizam kepada Malaysiakini.

Sementara itu, ketua cef dapur banquet/bankuasi Malakat Mall, Zainuddin Yahya turut memberi jaminan bahawa pihaknya akan menyediakan bungkusan makanan yang diperlukan barisan hadapan negara dalam berdepan wabak Covid-19 ini.

"Selama bencana ini berlaku (kita akan terus menyumbang) dan sekarang kita difahamkan ia dipanjangkan 14 hari lagi.

"Jadi, sehingga 14 April depan dan insya-Allah selagi kita mampu untuk membantu dan ada sumbangan di pihak kita, kita akan sama-sama bantu," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Nizam berkata sumbangan lebih 2,000 bungkusan makanan itu juga akan turut diagihkan kepada mereka yang memerlukan sumbangan tersebut seperti golongan ibu tunggal, peniaga pasar malam, mereka yang terputus bekalan makanan, pekerja yang bercuti tanpa gaji serta mereka yang hilang punca pendapatan.

Proses agihannya pula dibuat melalui ketua-ketua kampung sekitar kawasan yang terbabit.

Selain itu, menurut Mohd Nizam, pihaknya juga turut menyediakan bantuan kepada keluarga B40 yang tidak berkemampuan membeli makanan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan.

"Semua daripada kita ada situasi ekonomi dan kewangan masing-masing, tapi percayalah dengan janji Allah SWT yang kita tidak akan menjadi miskin atau susah dengan memberi dan tidak ada manusia yang berhak untuk kelaparan.

"Jadi, kita bantu menudahkan dan mengurangkan beban keluarga," katanya.

Tanpa kira kaum

Menurut Mohd Nizam antara barang keperluan yang disumbangkan mereka adalah beras, tepung, sardin, minyak dan kicap.

Malah, kata Mohd Nizam bantuan tersebut diagihkan kepada semua penerima yang layak tanpa mengira kaum dan bangsa.

Tambah Mohd Nizam, pihaknya juga akan memulakan tugas seawal jam 6.00 pagi bagi menjayakan misi bantuan tersebut.

Jelasnya, satu kumpulan daripada pasukan mereka akan memasak dan bungkus makanan manakala satu kumpulan lagi akan melakukan kerja-kerja pembungkusan barang kering.

Selain itu, beliau juga meminta orang ramai yang memerlukan bantuan segera mendaftar di pautan ini.

"Kita sampaikan misi daripada pemilik (Malakat Mall-Yayasan Brainy Bunch) kita juga dan kita tetap akan mengumpul dana dan kita akan cari orang yang terputus bekalan untuk kita sampaikan bantuan.

"Pesanan untuk rakyat Malaysia, anda duduk dekat rumah, kalau anda susah daftar dengan kita orang dan kita orang sampai dekat (tempat) anda. Sama ada makanan atau barang mentah, kita hantar sampai depan rumah. Insya-Allah," katanya.

Sukarelawan Zero Hunger merupakan satu unit utama di Yayasan Brainy Bunch yang membawa misi menyediakan makanan kepada keluarga memerlukan dan tidak berkemampuan, dengan mendapat kerjasama dari Malakatmall.

Bagi orang ramai yang mahu memberikan sumbangan boleh ke laman sesawang https://sadaqahmarket.com.

Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan bermula 18 Mac lalu bagi membendung penularan Covid-19 dilanjutkan dua minggu lagi dari tempoh asal yang akan berakhir pada 31 Mac kepada 14 April.

Sehingga tengah hari ini, Malaysia telah mencatatkan 1,796 kes jangkitan Covid dengan 21 kematian.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS