Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Lebih 1,000 doktor, jururawat bersara sudah kembali berkhidmat'

Lebih 1,000 pesara doktor dan jururawat telah kembali berkhidmat di hospital Kementerian Kesihatan, sebagai barisan depan dalam menghadapi wabak Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Noor Hisham berkata, mereka telah mula bertugas secara berperingkat bermula awal minggu ini, dan jumlah itu dijangka meningkat nanti.

"Mereka sudah bermula. Yang mana datang dulu, kita akan tempatkan mereka untuk bertugas.

"Kita tak tunggu sehingga dapat 3,000 pesara dan baru tempatkan mereka. Kita lihat apa kemahiran mereka, sama ada mereka ada pengalaman di wad hospital atau Unit Rawatan Rapi (ICU)," katanya kepada pemberita.

Menurutnya, antara yang menawarkan khidmat mereka adalah doktor pakar.


BacaCovid-19: Jururawat kembali dari pencen curahkan bakti


Kebanyakannya ditempatkan di Hospital Sungai Buloh, yang merupakan hospital utama dalam menangani wabak Covid-19.

Pada Isnin lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memohon doktor dan jururawat yang sudah bersara untuk kembali berkhidmat dalam usaha memantapkan barisan hadapan untuk melawan pandemik itu.

Susulan itu, sejumlah kakitangan perubatan yang telah pencen, termasuk 3,000 jururawat, menyatakan kesanggupan untuk berbuat demikian.

Hospital swasta juga mungkin terlibat

Hari ini, Noor Hisham berkata pihaknya menyasarkan seramai 3,000 tenaga kerja tambahan daripada kumpulan itu.

Ditanya mengenai saranan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassih, agar KKM membenarkan petugas barisan depan mereka bercuti secara berperingkat, Noor Hisham berkata, pihaknya sedang dalam proses untuk melaksanakan arahan tersebut.

Selain menambah bilangan petugas barisan depan dengan sukarelawan, beliau menambah, KKM juga memanggil semula kira-kira 3,500 jururawat dan pembantu perubatan yang sedang mengikut kursus pascaasas.

"Ini termasuk 2,400 jururawat terlatih. Kami sudah menugaskan mereka ke beberapa hospital dan klinik," katanya.

Sementara itu mengenai prosedur operasi standard untuk pusat kesihatan swasta mendepani Covid-19, Noor Hisham berkata, semua kes yang positif dirujuk ke KKM.

Bagaimanapun, katanya, pada masa depan mungkin sektor swasta juga perlu mula merawat pesakit yang positif Covid-19.

"Mungkin akan sampai satu tahap apabila semua hospital kerajaan dan unit rawatan rapi (ICU) penuh, maka pihak swasta juga akan perlu merawat pesakit di ICU mereka," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS