Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Polis tahan 110 orang ingkar perintah kawalan pergerakan

Polis menahan 110 orang semalam kerana tidak mematuhi perintah kawalan pergerakan, kata Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, kira-kira lima peratus daripada penduduk masih tidak mematuhi arahan itu.

"Saya dah jelaskan cara pihak polis mungkin berubah dari nasihat dan berhemah kepada tindakan lebih tegas

"Inilah kemahuan rakyat. Saya terima banyak mesej dari rakyat, mereka tak mahu oleh kerana 5 peratus yang degil, kesan kepada 95 peratus yang akur," kata Ismail pada sidang media hari ini.

Beliau berkata polis juga telah memeriksa sebanyak 163,487 kenderaan semalam.

Ismail berkata dalam usaha memastikan orang ramai patuh kepada perintah kawalan pergerakan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan mengeluarkan garis panduan yang lebih ketat pada Sabtu ini.

Sementara itu, beliau berkata, polis juga akan dilengkapi alat pengesan suhu untuk memeriksa suhu badan semasa sekatan jalan raya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail berkata pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat akan melakukan proses nyahcemar di premis-premis awam, terutamanya di kawasan yang dikenal pasti sebagai zon merah.

Beliau berkata, khidmat angkatan tentera juga mungkin dipanggil untuk membantu proses berkenaan sekiranya diperlukan.

Ditanya lebih lanjut, beliau berkata proses nyahcemar akan dilakukan di pasar, masjid dan tempat-tempat awam yang lain.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS