Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
S'pura tak lanjutkan bantuan penempatan sementara buat pekerja M'sia
Diterbitkan:  Mar 25, 2020 9:50 PM
Dikemaskini: 2:03 PM

Singapura tidak akan melanjutkan sokongan perumahan sementara kepada pekerja Malaysia yang bekerja di republik itu, susulan lanjutan perintah kawalan pergerakan (PKP) kepada 14 April yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini.

Justeru, Kementerian Sumber Manusia Singapura berkata, para majikan perlu memutuskan cara terbaik untuk menempatkan pekerja mereka yang terkesan.

"Atas faktor kesinambungan perniagaan dan kemapanan jangka panjang, majikan perlu memutuskan cara terbaik untuk menempatkan pekerja mereka yang terkesan, dan perkongsian kos tambahan dengan mereka," kata kementerian itu dalam kenyataan.

Kementerian itu berkata, sepanjang minggu lalu pihaknya telah bekerjasama dengan beberapa agensi untuk membantu memudahkan penempatan pekerja yang terkesan.

"Secara keseluruhan, kerajaan telah membantu kira-kira 2,000 syarikat dengan permintaan mereka untuk penempatan lebih 10,000 pekerja.

"Sejak itu, Kementerian Sumber Manusia telah emmbuat susulan dengan majikan untuk memastikan pekerja yang terkesan ditempatkan di penempatan sementara yang selamat dan sesuai," katanya dalam kenyataan.

Susulan pengumuman PKP sebelum ini, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien loong pada 17 Mac berkata usaha sedang dirangka untuk menempatkan pekerja Malaysia yang sebelum ini berulang-alik dari Johor ke negara itu.

Selain itu, Persatuan Malaysia di Singapura (Masis) juga menawarkan untuk mendapatkan bantuan penginapan, pengangkutan dan lain-lain keperluan.

Menurut Kementerian Sumber Manusia Singapura, pihaknya kini akan memulakan fasa seterusnya, iaitu bekerjasama dengan majikan untuk memudahkan pemindahan pekerja yang terkesan ke pilihan penempatan yang lebih sesuai.

"Dengan mengambil kira ketidaktentuan dalam kawalan sempadan, kementerian menggalakkan semua majikan yang terkesan untuk melihat pilihan penempatan yang lebih sesuai di Singapura untuk pekerja-pekerja ini.

"Majikan yang memerlukan pilihan penempatan yang lebih sesuai boleh merujuk laman sesawang atau menghubungi Kementerian Sumber Manusia (Singapura)," katanya lagi.

Kira-kira 300,000 warga Malaysia yang berulang-alik setiap hari dari Johor ke Singapura atas sebab kerja.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS