Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah tangguh kes permohonan Najib ketepikan saman Deepak
Diterbitkan:  Mar 25, 2020 3:25 PM
Dikemaskini: 7:25 AM

Permohonan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan tiga lagi untuk mengetepikan saman berjumlah RM676 juta yang difailkan peniaga permaidani J R Deepak Jaikishan akan didengar di mahkamah pada 14 Mei depan.

Berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada lawan sesawang mahkamah, pendengaran kes itu yang dijadualkan bermula hari ini ditangguhkan ke 14 Mei berikutan penutupan mahkamah sejajar dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan kerajaan berkuat kuasa sejak 18 Mac lepas bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Kes itu akan didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Quay Chew Soon.

Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor memfailkan permohonan untuk mengetepikan saman berkenaan pada 7 Jan 2019 sementara dua lagi defendan -- Boustead Holdings Berhad dan anak syarikatnya, Bakti Wira Development Sdn Bhd, memfailkan permohonan mereka pada 7 Dis 2018.

Semua defendan memfailkan permohonan mereka dengan alasan mereka tidak terlibat di dalam konspirasi yang didakwa.

Deepak selaku plaintif memfailkan saman itu pada 12 Okt 2018, mendakwa beliau mengalami kerugian disebabkan konspirasi, penipuan dan pengaruh yang tidak wajar daripada defendan-defendan dalam urusan hartanah yang didakwa mengakibatkan kerugian besar kepada syarikatnya.

Deepak mendakwa, beliau sebagai pengarah dan pemilik saham terbesar Astacanggih Sdn Bhd menandatangani satu perjanjian dengan pengarah dan pemilik saham terbesar syarikat Awan Megah (M) Sdn Bhd, Raja Ropiaah Raja Abdullah berhubung tiga bidang tanah seluas 181.9 hektar di Mukim Kapar, Klang dan Mukim Bukit Raja, dalam Daerah Petaling.

Deepak mendakwa pembayaran deposit RM13 juta telah dibayar oleh Astacanggih kepada Awan Megah dan bon tanah daripada Kuwait Finance House (M) Berhad berjumlah RM72.5 juta oleh syarikatnya itu dikemukakan kepada Kerajaan Malaysia .

Bagaimanapun, beliau mendakwa Awan Megah enggan mengemukakan geran asal bagi tanah-tanah terbabit untuk dipindah milik kepada Astacanggih.

Deepak mendakwa akibat konspirasi dan campur tangan Najib dan Rosmah yang masing-masing dinamakan selaku defendan pertama dan kedua, beliau terpaksa menjual 80 peratus (16 juta unit saham) daripada saham dimilikinya dalam Astacanggih kepada Boustead Holdings melalui anak syarikatnya, Bakti Wira Development.

Sehubungan itu, Deepak menuntut ganti rugi am RM600 juta, ganti rugi teladan RM50 juta dan ganti rugi teruk RM26 juta.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS