Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM: Keadaan mungkin lebih sukar, saringan dipertingkat
Diterbitkan:  Mar 25, 2020 1:48 PM
Dikemaskini: 7:15 AM

Perdana menteri, Muhyiddin Yassin hari ini mengingatkan bahawa keadaan akan menjadi lebih sukar sekiranya jangkitan Covid-19 terus mencatatkan peningkatan.

Muhyiddin berkata, beliau telah diberikan taklimat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bahawa jumlah jangkitan mungkin meningkat berkali-kali ganda seperti di beberapa negara lain sekiranya wabak berkenaan tidak dikawal.

Bagaimanapun katanya, kerajaan telah mengambil langkah yang perlu dan perintah kawalan pergerakan sedikit sebanyak berjaya mengawal penularan wabak.

"Saya nak menyebut di awal-awal ini bahawa keadaan berkemungkinan menjadi lebih sukar. Covid-19 adalah penyakit yang tidak pernah kita dihadapi sebelum ini.

"Tidak pernah kita jangkakan bahawa kehidupan kita akan berubah dalam sekelip mata hanya kerana sejenis wabak yang menular bukan sahaja di tempat kita tetapi juga di seluruh dunia.

"Kadar jangkitannya juga begitu. Hari ini seramai, 422,829 orang telah dijangkiti wabak ini di seluruh dunia dengan 18,907 kematian.

"Di negara kita, daripada kes pertama jangkitan Covid-19 dikesan, sehingga jam 12 tengahari ini jumlah kes positif telah meningkat kepada 1,796 kes, iaitu penambahan 172 kes baharu pada hari ini," katanya dalam ucapan secara langsung yang disiarkan di kaca televisyen tengah hari ini.

Sehubungan dengan itu katanya, strategi kerajaan kini adalah untuk mencari, menyaring, mengasing dan merawat pesakit Covid-19.

"Kementerian Kesihatan akan meningkatkan kapasiti untuk melakukan ujian saringan pada skala yang lebih besar. Ini termasuk melakukan mass testing khususnya di kawasan -kawasan yang berisiko tinggi.

"Dengan kata lain, kita ingin mencegah jangkitan. Strategi ini akan berjaya sekiranya orang ramai tidak terdedah kepada jangkitan virus ini menerusi pergaulan harian," jelasnya.

Tambah beliau, Kementerian Kesihatan juga telah melakukan persiapan dengan menyediakan 3,585 katil di 34 buah hospital di seluruh negara untuk menerima pesakit Covid-19

Pada masa ini 34 peratus daripada kapasiti katil hospital telah digunakan, dengan baki sebanyak 66 peratus lagi yang masih boleh menampung pesakit.

"Jika berlaku pertambahan jumlah kes positif Covid-19 melebihi kapasiti yang ada di hospital, beberapa tempat telah dikenalpasti untuk dijadikan pusat pengasingan dan kuarantin sementara.

"Usaha-usaha akan terus dibuat untuk mencegah penularan Covid-19 sehinggalah kita benar-benar dapat membendung wabak ini dengan cara memutuskan rantaian jangkitan sepenuhnya," jelasnya.


[Berita penuh menyusul]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS