Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bersih kutuk tindakan sekat peruntukan wakil rakyat pembangkang
Diterbitkan:  Mar 25, 2020 1:02 PM
Dikemaskini: 5:02 AM

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) mengutuk tindakan kerajaan negeri Selangor yang tidak menyalurkan peruntukan sebanyak RM300,000 kepada Adun pembangkang di negeri itu.

Dalam satu kenyataan, jawatankuasa pemandu Bersih 2.0 berkata pihaknya juga menyelar tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini yang menyekat peruntukan kepada anggota Parlimen Pakatan Harapan (PH).

"Bersih 2.0 mengulangi seruan yang sama kepada semua gabungan/parti yang menerajui kerajaan PN di peringkat persekutuan dan tiga negeri, PH di empat negeri, BN di dua negeri, PAS di dua negeri, GPS di Sarawak dan Warisan-PH di Sabah.

"Untuk membuang amalan mendiskriminasi pembangkang dalam peruntukan kawasan dan menggunakan dana awam untuk memancing sokongan kepartian.

"Amalan yang keji, tidak beretika dan tidak bermaruah ini bukan sahaja pengkhianatan kepada pengundi malah juga sikap mabuk kuasa yang berterusan daripada warisan mentaliti

'kerajaan adalah parti' BN, di mana politikus daripada parti kerajaan membelanjakan dana awam seperti harta parti sendiri," kata kenyataan itu.

Sebelum ini, anggota Parlimen PH memaklumkan peruntukan bagi mereka tidak lagi disalurkan oleh kerajaan PN.

Malah, peruntukan kawasan Parlimen Langkawi yang di bawah seliaan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad turut disekat.

Pada 23 Mac lalu, Ketua Pembangkang DUN Selangor Rizam Ismail menuntut penjelasan kerajaan negeri Selangor berhubung peruntukan Program Mesra rakyat sebanyak RM30,000 bagi menangani Covid-19 yang tidak disalurkan kepada sembilan Adun pembangkang di negeri itu.

Sementara itu, Bersih 2.0 menyifatkan alasan yang digunakan kerajaan negeri bahawa peruntukan kepada kawasan dikuasai pembangkang disalurkan penyelaras dun lantikan kerajaan negeri sebagai tidak masuk akal.

"Apabila dana kerajaan untuk kawasan pembangkang diuruskan oleh ejen kerajaan yang tak dipilih, ianya secara terbuka memaksa pengundi terutamanya mereka yang memilih pembangkang untuk memohon bantuan dan terhutang budi kepada parti kerajaan pula.

"Bersih 2.0 menggesa pemimpin utama PH, Anwar Ibrahim untuk melaksanakan 'Janji 16 Buku Harapan: Mengembalikan Wibawa Parlimen' di peringkat negeri.

"Janji itu antara lain menyatakan 'pembiayaan berdasarkan formula yang telus akan diberikan kepada semua ahli

Dewan Rakyat untuk membolehkan mereka menjalankan tugas dan mengurus pusat khidmat masing-masing', kata kenyataan itu lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS