Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dari barisan depan: Kakitangan perubatan cerita pengalaman

Dengan wabak Covid-19 di Malaysia terus memburuk apabila mencatatkan kes baru tertinggi dengan 212 kes dan empat kematian semalam, ramai kakitangan penjagaan kesihatan terus bekerja di barisan depan bagi melawan penularannya.

Di Teluk Intan, Perak, pegawai perubatan Dr Joash Tan, 32, berkata mereka kini dalam keadaan sedia (on call) "setiap masa dalam sehari, setiap hari dalam seminggu" dan cuti mereka dibekukan.

Menurut Tan lagi, ada juga kakitangan yang terpaksa meninggalkan anak-anak kepada mentua atau penjaga untuk mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

Bagaimanapun dia berkata keadaan tidaklah terlalu kacau-bilau seperti yang dijangka sesetengah orang kerana semua yang terlibat tahu akan tugas masing-masing, dan melakukannya dengan baik.

"Pasukan di Teluk Intan teratur, terima kasih kepada kepimpinan yang kuat dan baik," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Wabak Covid-19 melanda Malaysia pada 25 Januari 2020, apabila seorang kanak-kanak warga China berusia 11 tahun daripada Guangdong, datang ke Malaysia melalui Singapura, disahkan positif.

Kluster terbesar setakat ini adalah himpunan Tabligh yang dihadiri 14,5000 warga tempatan, Setakat ini, sudah 943 kes disahkan memiliki kaitan dengan kluster itu.

Pada masa ini, Malaysia merekodkan 1,518 kes positif dengan 14 kematian.

Seorang lagi pegawai perubatan daripada Pulau Pinang yang enggan dinamakan, berkata mereka juga tidak dibenarkan mengambil cuti buat masa ini.

Lelaki berusia 32 tahun itu, yang tinggal bersama ibu bapa, berkata dia perlu mengelakkan kontak dengan mereka secara keseluruhan sejak menyertai barisan depan, memandangkan ibu bapanya adalah warga emas yang lebih mudah terdedah dengan wabak itu.

Dia juga menekankan, perkara penting bagi mereka di barisan depan ketika berdepan pesakit yang sah atau disyaki memiliki Covid-19 ialah untuk menggunakan peralatan perlindungan diri (PPE) yang akan mengurangkan risiko jangkitan.

Bukan saja pemakaiannya, dia berkata menanggalkan PPE dengan betul juga sangat penting untuk mengelakkan jangkitan.

Dia berkata, beberapa rakan sekerjanya di tempat lain telah berdepan dengan pesakit yang tidak mendedahkan maklumat penting berkaitan kontak rapat.

"Memandangkan mereka berdepan dengan pesakit itu tanpa PPE, tindakan menyembunyikan maklumat penting seperti itu akan membawa risiko kepada mereka dan persekitaran," katanya lagi.

Menggesa orang ramai untuk tidak berbuat demikian, dia berkata pesakit tidak akan dihakimi atau dipersalahkan kerana menjadi kontak rapat, dan maklumat itu penting bagi melindungi kakitangan perubatan dan orang lain.

"Jika lebih ramai kakitangan perubatan dijangkiti, sistem akan terjejas dan kita tidak akan dapat membendung pandemik ini.

"Pada masa ini, masih ada himpunan dibuat walaupun dengan perintah kawalan pergerakan.

"Maka saya ingin tekankan kepentingan penjarakkan sosial, duduk di rumah dan kebersihan tangan kerana ia dapat menghalang penularan," katanya.

Perintah itu berkuatkuasa sejak 18 hingga 31 Mac. Bagaimanapun Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan memutuskan pada 30 Mac sama ada ia perlu dilanjutkan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham juga berulang kali menggesa orang ramai agar bercakap benar tentang isu kontak rapat atau sejarah perjalanan kepada kakitangan perubatan.

Semalam dia mendedahkan beberapa kakitangan di Teluk Intan disahkan positif Covid-19.

Di Kuala Lumpur, Dr Nur Sa'idah, 32, berkata dia dan suaminya, yang juga pegawai perubatan, bertugas di negeri berbeza.

Susulan perintah kawalan pergerakan, dia tidak boleh berjumpa suaminya yang kini di Johor.

"Tetapi beberapa bulan kebelakangan, saya ada cuba, bila ada masa, untuk berjumpa dengannya sekali dalam beberapa minggu, atau dia yang datang (ke Kuala Lumpur).

"Kami sudah menjangka keadaan akan menjadi seperti ini," katanya dengan nada beremosi.

Kata Nur Sa'idah lagi, ada kes di mana pesakit hanya disahkan positif Covid-19 selepas dia dimasukkan ke hospital.

"Maka semua kakitangan yang merawatnya perlu dikuarantin. Ketika itu kami mula kekurangan pegawai perubatan," katanya lagi.

Dia berkata bilangan pegawai perubatan untuk setiap shift di hospitalnya juga telah dikurangkan demi mengurangkan risiko jangkitan di kalangan kakitangan.

Dr Adzhar, 33, dari Terengganu pula berkata hospital telah membatalkan semua pembedahan bukan kecemasan ekoran Covid-19.

"...Ruang masuk ke bangunan hospital telah dihadkan, cuti kakitangan dibekukan dan ada pegawai perubatan yang ditempatkan ke Hospital Sungai Buloh," katanya, sambil menambah keadaan di hospitalnya masih terkawal.

Hospital Sungai Buloh antara hospital utama dalam "peperangan melawan Covid-19" dengan banyak kes yang disahkan dirawat di sana.

Bagi jururawat pula, Hidayah, 25, yang bertugas di sebuah hospital swasta di Negeri Sembilan, berkata pesakit yang ke hospital untuk tujuan lain perlu menjalani saringan yang ketat dan ramai di kalangan mereka tidak dirawat kerana bimbang dengan penularan wabak.

Dia dan jururawat lain juga perlu bekerja lebih masa ekoran kekurangan tenaga kerja.

"Keadaan di hospital, terutama di unit kecemasan, agak kelam-kabut kerana kita tidak dapat menjangka siapa yang positif Covid-19.

"Sebelum ini, shift kami biasanya sekitar sembilan jam tetapi kini ada kala perlu bekerja dua shift kerana tidak cukup orang, dan ada juga di kalangan kami yang dikuarantin," katanya lagi.

Bagaimanapun, ada juga sisi positif buat kakitangan perubatan pada masa ini.

Tan berkata, dia telah melihat banyak kebaikan terhadap mereka ketika krisis ini.

"Orang tak dikenali memberi makanan dan minuman kepada kami. Mesej sokongan juga menaikkan semangat.

"Bekas kakitangan menawarkan diri untuk kembali bekerja jika tak cukup orang.

"Hal-hal seperti ini amat bermakna dan mengingatkan kami bahawa kami tidak keseorangan dan dilupakan," katanya.

Tan berkata semua orang perlu memainkan peranan dalam melawan Covid-19 dan kakitangan perubatan tidak dapat melawan krisis itu sendiri.

"Kami bekerja tanpa penat dan takut untuk melawan krisis ini dan kami tidak akan berhenti sebelum menang," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS