Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peniaga kecil risau jika tempoh kawalan pergerakan dilanjut

Perintah kawalan pergerakan sudah masuk hari ketujuh dan sesetengah peniaga kecil sudah merasa khuatir mengenai nasib perniagaan serta pekerjanya jika sekatan itu berlanjutan sehingga bulan hadapan.

Pemilik kedai makan yang terletak di Batu Pahat Johor, Salim Ramli memberitahu Malaysiakini, pihaknya terpaksa menutup premis perniagaan buat sementara waktu bagi menjaga keselamatan dan kesihatan dirinya serta para pekerja.

“Kalau diikutkan kami boleh sahaja terus membuka premis tetapi fikir kesihatan pekerja, saya dan isteri membuat keputusan untuk menutup sementara kedai kami.

“Tetapi saya dan isteri masih menjalankan perniagaan dari rumah dengan membuat penghantaran makanan tengah hari dan malam dengan jumlah yang kecil,” katanya ketika dihubungi wartawan Malaysiakini.

Walaupun mereka terpaksa menanggung kos lebih untuk menghantar pesanan sekitar daerah Batu Pahat dan Muar, namun katanya, ia lebih baik daripada mengambil risiko yang boleh membawa kepada penularan virus Covid-19.

Menurut Salim lagi, para pekerjanya turut diberi pilihan untuk membantunya di rumah atau bercuti buat sementara waktu.

“Pekerja saya yang membantu di rumah diberikan gaji secara harian. Jika tempahan banyak, dapatlah upah lebih.

“Kami akan mengambil tempahan sehari lebih awal dan merancang jadual penghantaran dengan cermat supaya tidak perlu ke tempat berhampiran dua atau tiga kali,” jelasnya.

Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan bersetuju menyalurkan peruntukan sebanyak RM 130 juta kepada negeri-negeri untuk membantu menangani krisis Covid-19.

Sementara itu, seorang peniaga pasar malam, Ahmad Said berkata sejak perintah kawalan pergerakan, dia terpaksa menangguhkan aktiviti penjualannya kerana bimbang kesihatan dan keselamatan dirinya serta beberapa orang pekerja.

Ahmad Said yang berniaga di pasar malam sekitar Petaling Jaya dan Shah Alam juga berkata dirinya perlu akur dengan perintah ini.

“Saya hanya meniaga makanan dan air minuman di pasar malam setiap hari. Jika saya tidak meniaga tiadalah hasil untuk saya sekeluarga.

“Saya telah meminta pekerja saya untuk bercuti sementara waktu dan telah diberikan sedikit wang saku untuk bertahan sepanjang perintah kawalan pergerakan ini,” jelasnya ketika dihubungi Malaysiakini.

'Sambung jika belum kurang'

Ahmad Said juga menyatakan harapan agar perintah ini tidak berpanjangan kerana bimbang nasib yang akan diterima oleh peniaga kecil lain dan dirinya.

Semalam, Pakar Epidemiologi Universiti Malaya, Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud dilaporkan berkata percaya perintah kawalan pergerakan perlu dilanjutkan selama empat minggu lagi supaya ia betul-betul berkesan.

Perdana menteri pada hari pertama pelaksanaan perintah itu 18 Mac lalu berkata kerajaan tidak menolak kemungkinan tempoh perintah kawalan pergerakan akan dilanjutkan, jika penularan wabak Covid-19 dilihat belum berkurangan.

Kata Muhyiddin lagi, justeru penting untuk orang ramai melaksanakan penjarakkan sosial dengan berada di rumah, bagi mengelakkan diri dan keluarga daripada terdedah wabak itu.

Malaysia hari ini mencatatkan 106 lagi kes baru Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 1,624 kes, kata Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Noor Hisham Abdullah.

Peningkatan itu adalah yang terendah dalam tempoh 10 hari. Semalam, Malaysia mencatatkan sebanyak 212 kes, jumlah tertinggi yang pernah dicatatkan dalam sehari.

Tengah hari tadi, satu lagi kematian akibat Covid-19 dilaporkan, menjadikan jumlah korban wabak berkenaan di negara ini seramai 15 orang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS