Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
MIC taja penerbangan bawa balik rakyat Malaysia di Bangladesh pula

MIC akan menaja penerbangan untuk membawa pulang kira-kira 270 warga Malaysia yang berada di Bangladesh esok.

Perkara itu diumumkan Menteri Luar Negeri Hishammuddin Hussein dalam sidang media "Perkembangan Terkini Rakyat Malaysia Yang Terkandas Di Luar Negara" yang disiarkan secara langsung di Facebook Kementerian Luar Negeri tadi.

“Kesemua mereka akan dibawa pulang menggunakan sebuah pesawat sewa khas jenis Airbus 332 milik syarikat penerbangan Malaysia Airlines.

“Buat masa ini, kerajaan Bangladesh telah menyuarakan jaminan akan memberi kebenaran khas kepada pesawat ini untuk mendarat serta berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal, Dhaka,” katanya.

Menurut Hishammuddin, seramai 367 warga Malaysia yang direkodkan berada di Bangladesh, termasuk 219 orang pelajar, 55 kakitangan Hospital Medan Malaysia di Cox Bazar, 73 pekerja termasuk ahli keluarga mereka; dan 20 penjawat awam yang bertugas di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Bangladesh serta ahli keluarga mereka.

Daripada jumlah itu, 270 orang bersetuju untuk dibawa pulang ke tanah air, manakala terdapat tujuh penjawat awam yang diminta kekal bertugas di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Bangladesh.

“Bagi pihak kerajaan, saya amat menghormati dan berterima kasih kerana mereka sanggup kekal di sana demi tugasan kepada negara,” katanya lagi yang turut mengucapkan terima kasih buat MIC dan Malaysia Airlines atas bantuan yang dihulurkan.

Sebelum ini, MIC turut dilaporkan membiayai enam penerbangan sewa khas bagi membawa pulang kira-kira 1,500 rakyat Malaysia yang terkandas di India.

Setakat pagi ini, seramai 696 warga Malaysia telah dibawa pulang ke tanah air dari India, dan selebihnya akan dibawa pulang dalam waktu terdekat.

Sementara itu, Presiden MIC SA Vigneswaran berkata, langkah itu merupakan usaha MIC ketika negara sedang berdepan dengan situasi “cemas”, dan turut menyelar pihak yang mempertikaikan bantuan yang dihulurkan mereka.

“Saya nak beritahu kepada rakyat umum, bahawa ini adalah masa kecemasan. Kalau selepas PRU, kita buat kutipan RM200 juta (Tabung Harapan), masa ini lagi cemas. Jadi saya tampil ke hadapan untuk menolong [...]

“Jangan tanya soalan- kenapa dia? Kenapa mereka? Sebaliknya, tampil sahajalah ke hadapan membantu (mana-mana) satu kementerian,” katanya.

Dia turut menggesa banyak lagi pihak daripada pelbagai lapisan masyrakat akan tampil menawarkan bantuan kepada kerajaan, tidak kira rkayat biasa, persatuan mahupun parti politik.

“Esok, penerbangan MAS akan ke Bangladesh untuk membawa balik 270 orang kita dari sana, supaya warganegara kita ini boleh bersama dengan keluarga mereka,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Hishammuddin memaklumkan bahawa seramai 1,000 warga Malaysia dari pelbagai negara telah berjaya dibawa pulang ke tanah air.

Katanya, kerajaan sedang berusaha untuk meneliti “setiap ruang dan peluang” bagi membawa rakyat yang masih terkandas di luar negara secepat mungkin, selain menjamin kebajikan mereka akan sentiasa dijaga melalui bantuan konsular yang sewajarnya.

Dia turut berkata kerajaan kini dalam berunding negara China dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk mendapatkan bantuan mereka dalam menangani wabak Covid-19.

Katanya, hasil rundingan itu, seramai 26 pakar perubatan dari Malaysia akan mengadakan persidangan video dengan pakar-pakar perubatan di China bagi mendapat perkongsian mereka tentang strategi terbaik dalam melawan Covid-19.

Sementara itu, rundingan turut dilakukan dengan UAE bagi mendapatkan bantuan peralatan perubatan daripada negara berkenaan.

Setakat ini, Malaysia mencatatkan 1,518 kes positif Covid, dengan 15 kematian.

Seramai 159 disahkan pulih sepenuhnya, manakala 57 orang sedang dirawat di unit rawatan rapi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS