Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Bukan saja tidak patuh kepada perintah kawalan pergerakan (PKP), malah berdegil melanggar undang-undang lain dengan melakukan aktiviti penyeludupan di sempadan Malaysia - Thailand.

Perbuatan tersebut berjaya dikesan sekali gus dipatahkan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) Kelantan.

Sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac lalu, kata Komander Aksem Kelantan, Rusli Karim, sebanyak tiga kes berjaya diselesaikan pihaknya.

Menurut beliau, kes terbaru melibatkan cubaan menyeludup petrol dari negara ini ke Thailand.

Dengan tindakan Aksem, kata Rusli, cubaan membawa keluar 1,050 liter minyak petrol ke negara jiran itu dapat ditumpaskan semalam.

"Dalam operasi jam 6.30 petang semalam, anggota risikan membuat rondaan dan pemantauan di Kampung Kok Seraya, Chabang Empat, di Tumpat, sebelum menemui kereta Mistsubishi Pajero dalam keadaan mencurigakan.

"Aksem menahan kenderaan terbabit, namun pemandunya - seorang lelaki - melarikan diri.

"Pemeriksaan lanjut mendapati kenderaan itu memuatkan tong-tong yang berisi minyak petrol di bahagian tempat duduk belakang," katanya.

Aspek keselamatan tak diabaikan

Rusli menambah hasil pemeriksaan lanjut Aksem mendapati pemilik kenderaan terbabit mengubah suai kenderaan berkenaan untuk dilengkapi pam penyedut minyak, selain bercermin kereta gelap, bagi mengaburi mata pihak berkuasa ," katanya pada sidang media selepas melawat sekatan jalan raya Aksem di Cabang Empat Salam, Rantau Panjang, hari ini.

Rusli berkata, berdasarkan modus operandi suspek disyaki cuba menyeludup keluar bahan api itu melalui pangkalan haram sekitar Sungai Golok.

"Kami bertindak merampas kesemua barang kes kerana melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 (PPKB 1974) kerana memiliki barang kawalan tanpa lesen dalam keadaan syak munasabah untuk melakukan kesalahan.

"Kes ini disiasat di bawah seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)," katanya.

Dalam perkembangan sama Rusli turut berkongsi kejayaan Aksem mematahkan kegiatan penyeludupan ketum bernilai RM19,500 serta beras pelbagai jenama berjumlah RM1,753 yang berlaku dalam tempoh PKP.

Rusli berkata, masih ada segelintir masyarakat tidak bertanggungjawab mengambil peluang dalam tempoh PKP untuk melakukan kegiatan haram namun, pihak berkuasa termasuk Aksem tidak berdiam diri bagi membanteras gejala itu.

"Khidmat Aksem tidak terhenti dalam tempoh PKP kerana kami membuat kerja dua dalam satu, iaitu menguatkuasakan saranan kerajaan dalam membanteras Covid-19 dan juga mengekang aktiviti penyeludupan di sempadan.

"Malah, kami turut menitikberatkan keselamatam anggota dengan menyediakan peruntukan untuk memastikan adanya bekalan pencuci pembasmi kuman, topeng muka, sarung tangan serta makanan dan minuman buat anggota bertugas," katanya sambil menyeru orang ramai agar mematuhi segala saranan kerajaan untuk membendung penularan Covid-19," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS