Kadar jenayah di Kuala Lumpur telah menurun susulan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan seja 18 Mac lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim berkata bilangan jenayah yang direkodkan berkurang hampir separuh.
"Kadar jenayah di Kuala Lumpur telah menurun sebanyak 48 peratus. Jenayah seperti ragut dan curi motosikal berkurang dengan begitu banyak," katanya ketika ditemui dalam operasi Covid-19 di pasar borong Selayang di Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan maklumat lanjut.
Turut hadir untuk operasi itu ialah Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Yong Lei Choon dan Ketua Polis Centul S Shanmugamoorthy.
Mazlan berkata polis mencadangkan pihak berkuasa tempatan untuk mengehadkan waktu operasi Pasar Borong Selayang dan mengurangkan bilangan pekerja di sana bagi membendung risiko menularnya wabak Covid-19.
"Ada 440 kedai di pasar ini. Jika satu kedai ada lima pekerja, ini bermakna akan ada lebih 2,000 pekerja.
"Ia terlalu sesak. Kami ingin mencadangkan (kepada pihak berkuasa tempatan) untuk mengehadkan bilangan pekerja untuk setiap kedai.
"Dalam keadaan sekarang, hanya ada beberapa pelanggan. Tidak perlu untuk mengekalkan bilangan pekerja yang sama (seperti sebelumnya)," katanya lagi.
Dalam operasi itu, Mazlan mengetuai pasukan polis untuk memantau keadaan di pasar itu. Dron turut digunakan untuk membuat pengumuman menggunakan speaker.
Susulan pengumuman Kementerian Kesihatan bahawa Lembah Pantai, Titiwangsa dan Kepong mencatatkan bilangan kes Covid-19 yang tinggi, Mazlan berkata bilangan polis untuk memantau pergerakan awam akan ditambah.
Setakat 21 Mac, Lembah Pantai mencatatkan kes tertinggi di Kuala Lumpur dengan 90 kes, diikuti dengan Titiwangsa (41) dan Kepong (24).
"Saya telah beri arahan kepada pegawai saya untuk masuk ke kawasan kediaman dan membuat pengumuman dengan pelaung suara.
"Jika boleh, kita mahu kadar kepatuhan meningkat kepada 95 peratus. Pada masa ini, ia hampir 90 peratus," katanya lagi.
Secara keseluruhan, Mazlan berkata polis telah mengadakan 51 sekatan jalan raya di Kuala Lumpur dan Putrajaya, dengan 3,127 polis yang bertugas. Mereka dibantu oleh 420 askar.