PKR mendakwa terdapat kes terpencil pembuangan hasil pertanian di Johor dan Cameron Highlands ketika tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).
“Beberapa insiden pembuangan hasil pertanian yang berlaku di Cameron Highlands dan negeri Johor telah berlaku.
“Walaupun ia adalah kes terpencil (isolated case), tetapi ia membuktikan bahawa nasib petani sangat terjejas dengan PKP,” kata Pengarah Strategi PKR Sim Tze Tzin di Facebook.
PKR saran skim jaminan pembelian balik untuk petani
Di media sosial itu, bekas timbalan menteri pertanian turut memuat naik rakaman video bagi membuktikan perkara itu.
Dalam video 14 saat itu, kelihatan sayur-sayur dalam kotak dibuang ke dalam lori.
Dalam bahasa Hokkien, kedengaran juga seorang lelaki menyebut:
“Kawan, kamu tengok. Semua sayur saya kena buang. Kata tak ada sayur nak makan.
"Tengok sini, sebanyak 1 tan saya kena buang.”
Sim berkata PKP telah menjejaskan permintaan hasil pertanian negara, menyebabkan permintaan sayur-sayuran, ikan dan buah-buahan menurun.
“Pelbagai kerenah birokrasi juga menyebabkan penghantaran hasil pertanian ke pasaran juga terjejas akibat PKP,” dakwanya yang juga anggota Jawatankuasa Krisis Covid-19 PKR.
Anggota parlimen Bayan Baru itu juga mendakwa secara purata, para petani mengalami kerugian setinggi 20 hingga 30 peratus akibat PKP secara tiba-tiba.
“Pembaziran hasil pertanian tidak harus berlaku, kerana puluhan ribu golongan berpendapatan rendah menghadapi masalah kekurangan makanan seperti dilaporkan oleh media dan sosial media.
“PKR ingin menyeru kerajaan mengambil tindakan drastik untuk mengatasi kerugian yang dihadapi oleh petani dan mengelakkan pembaziran,” kata bekas timbalan menteri pertanian itu.
Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi pihak berkuasa berkaitan dakwaan itu serta maklum balas daripada petani terlibat.