Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi membendung penularan pandemik Covid-19 menjejaskan kehidupan seharian sebahagian besar rakyat negara ini.

Tidak terkecuali adalah mereka dari kalangan orang kurang upaya (OKU).

Bagi pasangan OKU, Raju Arumugam dan Valli Munisamy yang kedua-dua mereka berusia 48 tahun, saranan supaya duduk di rumah bukan sesuatu yang sukar dipatuhi tetapi cadangan supaya mengamalkan penjarakan sosial atau social distancing memang sukar dilakukan.

Ini kerana setiap kali ke luar rumah untuk mendapatkan keperluan asas, mereka memerlukan bantuan orang lain.

“Kami berdua memerlukan kerusi roda dan apabila kami keluar, kami perlukan bantuan daripada orang lain,” kata Raju ketika dihubungi Malaysiakini.

"Kadang-kadang jalan tidak rata atau mungkin sempit dan kadang-kadang kedai ada tangga. Ada masanya kami perlu dapatkan bantuan untuk mencapai barang-barang yang diletakkan di bahagian atas rak,” katanya.

Tetapi sebenarnya Valli lebih risaukan mereka yang sebenarnya bermurah hati datang menolong diri dan keluarganya tetapi khuatir mereka berkemungkinan mempunyai virus tersebut tanpa mereka sedari.

"Saya betul-betul takut untuk keluar membeli keperluan asas kerana mungkin ada yang ingin membantu tetapi kita tidak tahu sama ada mereka mempunyai virus atau tidak. Ia hampir mustahil bagi kita untuk mengamalkan penjarakan sosial.

"Saya tidak berani pergi ke pasar pagi lagi. Sebelum ini, saya akan pergi ke sana sekali dalam tiga hari untuk membeli barang-barang keperluan," katanya.

Walaupun pasangan itu boleh ke kedai runcit untuk membeli roti dan barang-barang makanan dalam tin, Valli mengeluh kerana tidak mempunyai pilhan melainkan hanya menjamah "sardin dan telur" selama beberapa hari.

Selain itu, Valli juga takut untuk menggunakan lif di flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) mereka di Selayang, kerana lif tersebut jarang dibersihkan.

"Sudah berapa hari saya tidak buang sampah. Bukannya saya tidak mahu buang, tetapi kerana lif jarang dibersihkan," katanya.

"Bagi orang kurang upaya macam kami, antibodi kami tidak kuat macam orang biasa. Kalau sakit, memang terlantar," katanya.

Valli dan Raju, yang kedua-duanya menderita akibat poliomielitis, menerima bantuan khas sebanyak RM400 setiap seorang daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Raju merupakan bekas pemain tenis kerusi roda Malaysia, memperolehi pendapatan tambahan dengan membungkus barangan keperluan untuk rumah anak yatim. Manakala Valli merupakan seorang tukang jahit yang juga menjual penapis air Coway.

"Tetapi disebabkan wabak ini, saya tidak mempunyai pelanggan lagi,” kata Valli.

Bagaimanapun, bukan hanya Raju dan Valli berdepan dengan masalah yang menjejaskan mata pencarian mereka pada masa ini.

Tukang urut orang buta yang berpusat di Brickfields turut menceritakan masalah yang sama dengan Malaysiakini, bagaimana perintah kawalan pergerakan ini menyekat perbelanjaan mereka.

Mereka juga perlu mendapatkan bantuan daripada orang lain. Ini adalah kerana mereka yang cacat penglihatan sangat terjejas apabila menghadapi kekurangan topeng mulut dan hidung serta cecair pembasmi kuman.

Kebanyakan daripada mereka juga bergantung kepada deria sentuhan mereka untuk peka apa yang terjadi dengan persekitaran mereka.

Tetapi dengan menyentuh lebih banyak barang di sekeliling mereka, secara tidak langsung mereka sebenarnya lebih terdedah kepada risiko virus tersebut berbanding mereka yang celik penglihatan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS