Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
14 kes reman dicatatkan sepanjang PKP
Diterbitkan:  Mar 24, 2020 1:02 PM
Dikemaskini: 6:29 AM

Sebanyak 14 kes reman telah dicatatkan bermula 19 hingga 23 Mac, sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan dilaksanakan.

Menurut satu kenyataan media, Pejabat Ketua Pendaftar, Mahkamah Persekutuan di Putrajaya, memaklumkan dari jumlah keseluruhan kes, 10 kes reman telah direkodkan di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi kesalahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

“Dua kes yang dituduh telah mengaku bersalah, masing-masing di Mahkamah Majistret Johor Bahru dan Mahkamah Majistret Sungai Siput.

“Kedua-duanya dikenakan denda RM5000.00 dan masing-masing 12 serta 10 bulan penjara jika tertuduh gagal membayar denda,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur turut menjatuhkan hukuman dua bulan penjara bermula dari tarikh sabitan terhadap seorang tertuduh yang mengaku bersalah atas kesalahan di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

Selain itu, satu kes reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi kesalahan dibawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan / Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 turut dicatatkan

“Dua kes reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi kesalahan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan / Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998; dan

“Satu kes reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi kesalahan di bawah Peraturan 3 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Berjangkit) 2020,” petik kenyataan itu.

Sebelum ini, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan perintah kawalan pergerakan bermula 18 Mac hingga 31 Mac ini.

Perintah mengawal pergerakan ini, kata perdana menteri diambil kerajaan berdasarkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Akta Polis 1967 (Akta 344) dan "tertakhluk kepada perkembangan semasa bagi semua warga negara dan bukan warga negara yang berada di Malaysia."

Perintah itu antara lain mewajibkan penutupan kebanyakan premis perniagaan, sekolah dan institut pengajian tinggi, serta premis kerajaan dan swasta melainkan perkhidmatan penting.

Susulan itu, semua perbicaraan mahkamah di seluruh negara ditangguhkan.

Walau bagaimanapun, permohonan reman bagi kes jenayah di mahkamah majistret dibenarkan dilakukan semasa tempoh pergerakan terhad selama dua minggu di seluruh negara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS