Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kerana ada yang memang tiada pilihan
Diterbitkan:  Mar 24, 2020 12:31 PM
Dikemaskini: 4:31 AM

ULASAN | Memanglah, pemerintah tidak memaksa rakyat untuk mengeluarkan wang masing-masing daripada akaun kedua Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Mereka kata: “Terpulang kepada anda. Keluar boleh, tidak keluar pun boleh. Tiada siapa memaksa. Ini pilihan buat rakyat."

Tetapi perlu difahami, untuk orang miskin, golongan kurang berkemampuan dan orang yang paling terkesan dengan Covid-19, ‘pilihan’ itu sebenarnya sekadar suatu ilusi.

Untuk orang lain - misalnya seorang rakan kongsi firma guaman di Kuala Lumpur dan tinggal di Mont Kiara - pilihan untuk mereka memang mudah. Tidak perlu untuk kacau simpanan KWSP.

Sama juga untuk mantan menteri. Mereka ada pencen. Dalam bank di merata-rata tempat ada simpanan sendiri.

Ada juga yang memiliki duit poket sebanyak RM2 juta. Jadi orang yang sebegitu memang tidak perlu sentuh pun simpanan yang ada. Mereka ada banyak pilihan.

Tetapi untuk sebahagian rakyat di luar sana, ‘pilihan’ itu sebenarnya tidak wujud. Mereka tiada ada pilihan kecuali mengeluarkan duit untuk terus hidup.

Bagaimanapun pula yang tiada simpanan KWSP? Mereka lebih mencabar kerana tidak memiliki pilihan untuk mengeluarkan wang langsung!

Desak kerajaan beri bantuan

Mempunyai pilihan itu suatu keistimewaan. Semakin senang kehidupan seseorang, lagi banyak keistimewaan dan pilihan yang tersaji buatnya.

Dianggarkan, ada kira-kira 40 peratus pencarum KWSP yang tidak memiliki simpanan mencukupi dalam akaun kedua bagi membolehkan mereka mengeluarkan wang tersebut sebanyak RM500 selama setahun.

Jadi, mereka yang sememangnya tidak punya banyak simpanan, terpaksalah membuat pengeluaran walaupun jumlah tabungan itu sebenarnya memang terhad.

Yang kaya terus kaya, yang miskin dan memerlukan menjadi semakin miskin dan semakin memerlukan.

Entah mengapa ‘pilihan’ untuk mengeluarkan wang KWSP ini diuar-uarkan sebagai berita baik oleh pemerintah.

Gambar hiasan

Adakah rakyat patut berterima kasih kepada pemerintah kerana kita dibenarkan menggunakan duit simpanan sendiri?

Sebab itu ramai yang mendesak supaya kerajaan memberi bantuan wang kepada golongan yang paling terkesan dengan krisis Covid-19 ini. Bukan memberi ‘pilihan’ kepada mereka yang sebenarnya tidak ada pilihan.

Dalam keadaan krisis sekarang, mengkritik bukan bermakna seseorang itu mahu mengajak masyarakat membenci kerajaan. 

Kebanyakan teguran dan kritikan dibuat sebagai langkah supaya kerajaan memberikan yang terbaik untuk Malaysia dan rakyat seluruhnya.

Tetapi apabila tindakan kerajaan dipersoalkan, ramai pula yang menyelar di media sosial.

“Jangan dipolitikkan," kata mereka.

Ia memang frasa mudah yang dijadikan alasan untuk membungkamkan sesiapa yang menegur atau menyoal pemerintah.

Ia sekali gus memberi keizinan kepada pemerintah untuk melakukan apa sahaja tanpa boleh dipersoalkan oleh sesiapa.

Tidak. Rakyat mesti terus mengutarakan persoalan. Kita tidak boleh memberikan pemerintah suatu lesen untuk mereka berbuat apa saja yang mereka rasa betul.

Kerajaan tidak boleh diberikan blank cheque.

Walaupun ia mengundang pelbagai label negatif, dan dilemparkan pelbagai tuduhan, kita kena terus bersuara.

Teruslah bersuara, kerana apa lagi pilihan yang kita ada?


SYAHREDZAN JOHAN ialah seorang peguam dan setiausaha politik Lim Kit Siang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS