Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa mendedahkan pihak berkuasa majlis tempatan telah menyita banyak gerai di pasar-pasar utama Kuala Lumpur kerana melanggar perintah kawalan pergerakan.
Annuar yang juga pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Wilayah Persekutuan memaklumkan tindakan itu diambil semalam dalam lawatan dan pemeriksaan yang dilakukan pihak berkuasa ke pasar-pasar utama, termasuklah Pasar Borong Kuala Lumpur, Pasar Borong Selayang, dan banyak lagi.
“Di Pasar (Borong) Selayang, semalam, 36 gerai terpaksa kita sita kerana (berlaku) pelanggaran dan ketidakpatuhan,” katanya pada sidang media yang disiarkan langsung menerusi Facebook Kementerian Wilayah Persekutuan tadi.
Menurut beliau, antara pasar-pasar lain yang diperiksa ialah Pasar Pembangunan Sri Sentosa, Pasar Moden Cheras, Pasar Terbuka Desa Rejang Setapak, Pusat Penjaja Taman Sentosa, Pasar Taman Tun Dr Ismail (TTDI) dan lain-lain.
Pertintah kawalan pergerakan menyatakan pasar, pasar raya, kedai runcit dan kedai serbaneka dikira sebagai perkhidmatan penting di bawah peruncitan dan dibenarkan terus beroperasi, manakala pasar malam dan pasar tani diarahkan tutup.
Bagaimanapun, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengeluarkan notis kepatuhan agar semua pekerja, pelawat, pekedai dan pembekal diwajibkan memakai penutup mulut serta dikehendaki mengekalkan jarak sosial satu meter.
Selain itu, Annuar yang juga menteri Wilayah Persekutuan meminta rakyat agar tidak berasa bimbang dengan kehadiran polis dan angkatan tentera yang akan membantu penguatkuasaan PKP di pasar.
Dalam perkembangan lain, Annuar turut memaklumkan dua individu yang terlibat dalam perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling beberapa minggu lalu telah “ditangkap” polis kerana enggan tampil membuat pemeriksaan kesihatan.
Tangkapan itu dibuat di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jelatek, dan satu lagi di Presint 5, Putrajaya.
“Semalam ada dua kes, pihak polis terpaksa, dalam istilahnya, menangkaplah. [...]
“Di PPR Jelatek, seorang yang hadir ke ijtima’ tetapi tidak tampil, maka dia telah dijemput oleh pihak polis untuk menjalani pemeriksaan.
“Satu lagi di Putrajaya, serupa juga, dia merupakan jemaah Tabligh, tapi dia berlegar di Surau Al-Huda di Presint 5 (Putrajaya), dia juga terpaksa dijemput oleh pihak polis untuk melakukan beberapa langkah kesihatan,” katanya.
Tambahnya, dua kes berkenaan merupakan “contoh” membabitkan individu yang tidak mahu tampil memberi kerjasama sehingga memaksa pihak polis untuk “menjemput” mereka bagi menjalani pemeriksaan dan prosedur-prosedur tertentu.
Setakat ini, 1,306 orang dijangkiti Covid-19 di Malaysia, dengan 820 pesakit terdiri daripada kluster tabligh, manakala 11 kematian direkodkan.
Pihak berkuasa masih cuba mengesan sebahagian peserta perhimpunan Tabligh yang belum tampil membuat pemeriksaan kesihatan.