Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Perlukah kita pakai penutup mulut?
Diterbitkan: Β Mar 23, 2020 2:34 PM
β‹…
Dikemaskini: 7:17 AM

KORONAVIRUS l Ketika negara bergelut dengan penularan pandemik Covid-19, pihak berkuasa pula tidak dapat mencapai kata sepakat sama ada pemakaian penutup mulut dan hidung oleh orang ramai wajar diwajibkan atau pun tidak.

Banyak pihak menyuarakan kebimbangan terhadap kekurangan bekalan penutup mulut dan hidung di seluruh negara, terutamanya oleh petugas barisan hadapan yang mengendalikan virus itu secara langsung.

Setakat ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) - pihak berkuasa utama yang mengendalikan pengurusan krisis di negara ini - juga kerajaan-kerajaan tempatan yang lain, mengeluarkan kenyataan bercanggah berhubung perkara itu.

Semalam, Ketua Pengarah KKM Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan bahawa orang awam tidak perlu memakai penutup hidung dan mulut kecuali jika mereka mempunyai simptom Covid-19 seperti selesema atau batuk.

β€œSaya ingin memberi penekanan di sini sekali lagi, penutup mulut dan hidung adalah untuk melindungi pekerja penjagaan kesihatan ketika mereka berhadapan dengan pesakit.

"Di khalayak ramai, anda tidak perlu memakai penutup hidung dan mulut melainkan jika anda mempunyai simptom hidung berair atau batuk, jadi tidak perlu memakai penutup hidung dan mulut, kecuali terdapat petunjuk untuk memakainya," katanya dalam satu sidang akhbar.

Dia diminta mengulas tentang aduan warganet bahawa mereka dilarang daripada memasuki pelbagai premis termasuk pasar raya kerana tidak memakai penutup muka.

Bagaimanapun, MKN pula memberikan nasihat agar penutup mulut dan hidung sentiasa dipakai ketika melawat pasar raya.

Pasar, pasar raya, kedai runcit, kedai serbaneka dan perniagaan lain yang menawarkan perkhidmatan penting dibenarkan terus beroperasi sepanjang penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) dari 18 hingga 31 Mac.

Bagaimanapun, pelbagai negeri dan kerajaan tempatan telah mula mengeluarkan notis berbeza tentang waktu bekerja, pemakaian penutup mulut dan lain-lain keperluan sepanjang tempoh itu.

Di Kuala Lumpur, satu notis kepatuhan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur Nor Hisham Ahmad Dahlan menyatakan bahawa semua pekerja, pelawat, pekedai dan pembekal diwajibkan memakai penutup mulut dan mengekalkan jarak sosial satu meter.

Ini berkuat kuasa sehinggalah PKP tamat pada 31 Mac nanti.

Pemilik, pengurus, tuan kedai runcit, restoran dan pasar juga bertanggungjawab memastikan agar jarak sosial dijaga.

Notis itu berkata tindakan akan diambil di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 untuk menutup premis yang melanggar arahan itu.

Begitu juga dengan notis dikeluarkan Datuk Bandar Alor Setar Mohd Zohdi Haji Saad yang mewajibkan penggunaan penutup muka dan penjarakan sosial.

Notis ini menambah bahawa semua pekerja, pelawat, pekedai dan pembekal mesti mempunyai pensanitasi tangan.

Begitu pun, kedua-dua notis itu tidak menyentuh tentang bekalan penutup muka. Ramai warga maya menyuarakan bantahan mereka di laman Facebook DBKL bahawa arahan itu tidak adil mahupun praktikal memandangkan bekalan penutup mulut kini mengalami kekurangan.

Kekurangan penutup mulut dalam pasaran tempatan menyebabkan kerajaan melarang eskport barangan itu dan membolehkan produk itu diimport. Putrajaya turut menaikkan harga siling penutup tiga lapisan, dari RM0.80 ke RM2.

Bagaimanapun, ekoran aduan yang diterima, kerajaan Perikatan Nasional berkata ia akan menyemak semula kenaikan harga yang dikatakan mungkin terlalu tinggi.

Juga terdapat seruan agar 10 juta penutup hidung dan mulut yang dijual kerajaan China, diedarkan secara percuma kepada petugas kesihatan di barisan hadapan terlebih dahulu, kemudian kepada orang awam.

Ini setelah kerajaan berkata ia akan mengutamakan pengedaran penutup mulut berkenaan kepada barisan hadapan, manakala bakinya boleh didapatkan oleh orang ramai di pasaran terbuka.

Sementara itu, pekerja kesihatan turut membuat ubah suai sendiri untuk menghasilan kelengkapan perlindungan peribadi (PPE) mereka seperti penutup kepala.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS