Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Saringan harian 10,000 sehari masih tak cukup - Najib
Diterbitkan:  Mar 23, 2020 2:21 PM
Dikemaskini: 6:24 AM

Kapasiti terhadap ujian saringan wabak Covid-19 harus dipertingkatkan, kata bekas perdana menteri Najib Razak.

“Saya difahamkan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah pun merancang untuk meningkatkan jumlah saringan harian dari 3,500 sehari ke lebih 10,000 sehari.

“Namun, kapasiti ini masih tidak mencukupi kerana 10,000 sehari bermaksud 300,000 orang sebulan sahaja ataupun satu peratus daripada jumlah penduduk Malaysia.

“Lebih ramai dan lagi laju kita mampu saring, lagi cepat kita dapat menghalang Covid untuk merebak,” katanya dalam Facebook hari ini.

Najib menyarankan rundingan dengan rangkaian perubatan swasta serta syarikat insurans yang mengendalikan MySalam untuk membiayai penuh atau berkongsi kos dengan kerajaan untuk memberi ujian percuma kepada mereka yang percaya terdedah kepada risiko Covid.

“Kos ujian yang perlu ditanggung oleh rakyat sebanyak RM700 seorang tak masuk akal. Bagaimana golongan B40 mampu bayar?

“Ini bukan masa untuk syarikat-syarikat swasta untuk mengaut keuntungan lebihan,” katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah semalam mengumumkan bahawa terdapat 123 kes positif Covid-19 baru, menjadikan jumlah keseluruhan 1,306 kes.

Satu kematian baru hari ini turut menjadikan jumlah korban akibat wabak itu di Malaysia sebanyak 11 orang.

Najib menyarankan kerajaan Perikatan Nasional (PN) supaya berusaha mengalakkan rakyat yang dipercayai terdedah kepada risiko Covid-19 untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

Jelasnya, mereka – yang berisiko dijangkiti Covid-19- perlu disanjung sebagai hero kerana berani tampil untuk diuji.

“Mereka perlu disanjung sebagai hero bila mereka berani tampil ke depan untuk diuji dan dikuarantin. Bukan dihina dan maklumat peribadi mereka ditularkan.

“[…] kerajaan perlu memberi jaminan bahawa sesiapa yang dikehendaki untuk dikuarantin akan dibantu dari segi bekalan makanan atau kewangan dalam tempoh itu,” katanya.

Sementara itu, Najib turut menjelaskan rangkaian bekalan makanan dan barangan keperluan asas tidak boleh putus bagi membendung penularan wabak tersebut.

Katanya lagi, kilang tempatan juga perlu meningkatkan pengeluaran barangan tersebut.

“Jika krisis dunia bertambah teruk, kita akan mengalami persaingan hebat dan kesukaran untuk mendapati barang-barang ini.

“Masa itu tiada jaminan kita akan dibekal walaupun kita tawarkan harga lagi tinggi. Sebab itu, kita tidak boleh terlalu bergantung kepada negara-negara lain kerana ada kemugkinan mereka akan mengharamkan eksport jika situasi bertambah teruk,” kata Najib.

Tambahnya, bantuan kewangan juga wajar disalurkan bagi golongan yang terkesan akibat ancaman wabak tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS