Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
‘Kos saringan Covid-19 pihak swasta berpatutan’
Diterbitkan:  Mar 23, 2020 2:07 PM
Dikemaskini: 7:22 AM

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menjelaskan bahawa pihak kerajaan tidak bercadang untuk mengawal harga pemeriksaan kesihatan Covid-19 di hospital swasta.

Jelasnya, harga yang dikenakan pihak hospital terbabit iaitu sebanyak RM500 hingga RM700 adalah berpatutan.

“Setakat sekarang ini kita tak kawal sebab kalau dengan kerajaan benar kami tanggung kos, dan ia pun dalam RM700 satu kepala.

“[…] Jadi saya kira RM500 hingga RM700 itu sudah berpatutan, kalau lebih RM1,000 itu sudah membebankan,” katanya kepada pemberita di sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut soalan lazim (FAQ) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai perintah kawalan pergerakan, rakyat yang ingin membuat pemeriksaan Covid-19 tetapi tidak mempunyai gejala boleh ke hospital swasta bagi membuat pemeriksaan tersebut.

Bagaimanapun, perkhidmatan pengambilan sampel Covid-19 itu akan dikenakan caj oleh pihak syarikat swasta berkenaan.

KKM turut memaklumkan buat masa ini, perkhidmatan berkenaan disediakan oleh pihak swasta seperti Bookdoc, Pantai Premier Pathology Sdn Bhd, Lablink (M) Sdn Bhd (KPJ), Qualitas Medical Group Sdn Bhd, Gleneagles Kuala Lumpur, Pantai Hospital Kuala Lumpur, Pantai Hospital Cheras, Pantai Hospital Klang, Pantai Hospital Ayer Keroh, Melaka; Twin Tower Medical Centre, KLCC dan DoctorOnCall.

Sementara itu, Muhyiddin turut yakin bahawa pihak hospital swasta mempunyai tanggungjawab sosial untuk tidak menambahkan beban rakyat dengan mengenakan caj lebih tinggi terhadap perlaksanaan pemeriksaan tersebut.

“Saya tahu hospital swasta pun ada tanggungjawab sosial untuk kurangkann beban kita dengan tak kenakan beban (caj) lebih tinggi,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS