Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Azis Jamman sumbang gaji bantu penduduk Sepanggar beli keperluan
Diterbitkan:  Mar 23, 2020 1:32 PM
Dikemaskini: 5:32 AM

Anggota parlimen Sepanggar, Mohd Azis Jamman akan menyumbangkan gajinya sebagai wakil rakyat, selagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, bagi membantu rakyat di kawasannya yang terjejas sepanjang tempoh itu membeli barangan keperluan harian.

Dalam kenyataan hari ini, Azis berkata ramai penduduk khususnya di kawasan Sepanggar terputus sumber pendapatan dan berdepan kesukaran untuk membeli barangan dapur sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan yang bertujuan mengekang penularan Covid-19.

“Ada yang menyatakan kesukaran mereka untuk membeli susu untuk anak-anak mereka yang masih kecil.

“Atas rasa keinsafan, simpati selain ingin berkongsi kesukaran mereka, saya menyumbangkan gaji anggota parlimen saya bulan ini dan bulan-bulan seterusnya selagi perintah kawalan pergerakan ini masih berjalan untuk membeli barangan makanan dan keperluan harian dan seterusnya di agih-agihkan kepada mereka yang terjejas teruk,” kata Azis.

Selain itu, Azis menjelaskan gaji tersebut wajar diberikan kembali kepada rakyat memandangkan beliau tidak dapat menjalankan tugas sebagai anggota parlimen sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan.

“Adalah tidak wajar saya gunakan gaji tersebut untuk diri saya dan keluarga. Adalah lebih wajar gaji tersebut saya serahkan kepada mereka-mereka yang lebih memerlukan,” ujarnya lagi.

Sementara itu, bekas timbalan menteri dalam negeri itu turut berharap agar pakej ransangan ekonomi yang akan diumumkan Ketua Menteri Sabah, Mohd Shafie Apdal akan turut mengambil kira masyarakat yang terputus sumber pendapat yang terjejas teruk.

Azis turut merayu kepada mana-mana pihak sama ada daripada syarikat swasta atau korporat yang ingin membantu menyalurkan sumbangan kepada penduduk Sepanggar untuk berhubung dengan pegawainya di talian 010-5472 921 (Raini), 014-6787 800 (Redzwan), 016-8406 511 (Jasni) dan 011-1023 1002 (Hadi Murba).

“Semoga dengan sumbangan anda akan memberikan sinar dan harapan kepada mereka-mereka yang terjejas teruk sepanjang wabak covid-19 yang melanda dunia dan negara,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS