Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN l Tidak pernah dia merasa bangga menjadi orang Islam seperti hari itu.

Kata ustaz, wabak koronavirus itu ditimpakan ke atas penduduk Wuhan yang bukan Islam dan tak jaga kebersihan makanan. Juga wabak itu bermula di situ sebagai bala kerana penganiayaan kerajaan China ke atas penduduk Islam di Xinjiang.

Kata ustaz, wabak ini tidak akan berjangkit dengan orang Islam kerana orang Islam makan makanan halal nan bersih. Badan kita imun daripada terkena wabak ini, kata ustaz lagi.

Kita tidak akan menjadi jemaah korona!

Tetapi sejak wabak itu meluaskan kuasanya hingga ke negara Malaysia dan tiada siapapun yang terkecuali termasuklah para jemaah tabligh yang berkumpul di masjid.

Sejak hari itu, ustaz tidak lagi berkobar-kobar memuat naik status di Facebook bercerita tentang korona.

Mungkin ustaz sudah sedar bahawa virus ini tidak memilih siapa jemaahnya; tiada diskriminasi dan pilih kasih- semuanya sama asalkan jemaahnya itu adalah manusia.

Lantas ustaz sekarang hanya berkongsi ayat-ayat pendinding dan kisah saudara kenalannya yang bekerja di China sedang membuat kajian mengenai wabak itu dan cara untuk melawan virus ini ialah dengan meminum air suam.

Entah betul entahkan tidak tapi pak menteri sendiri dah cakap petua minum air suam itu sahih.

Tak mungkin menteri silap, dia kan doktor, mesti tahu benda-benda macamni, begitu kata emak sewaktu dia menelefonnya memberitahu tiket bas sudah habis dan dia tidak sempat pulang ke kampung.

Mujur kawannya punya rumah berdekatan dengan universiti maka bolehlah dia menumpang selama dua minggu ini.

Mujur juga tiket bas habis kerana ada yang naik bas itu sudah terkena jangkitan korona dan menjadikan penumpang bas yang lain terdedah dengan jangkitan yang sama.

Disebabkan seorang ini, bertambah lagi puluhan jemaah korona. Kalau seorang ini berbisnes MLM, pasti sudah kaya raya dirinya dengan gambar bersut di sebelah kereta BMW.

Cerita pasal rumah, segera dia teringat akan mereka yang tidak punya rumah.

Pengalaman terdekat dia melihat dan bergaul dengan gelandangan ini ialah sewaktu ikut kawan-kawan sekelasnya, Hadi dan Pakwan, menyertai program Dapur Jalanan yang setiap minggu, panas atau hujan, ribut atau kemarau, akan tetap teguh menyantuni barisan gelandangan yang sudah menunggu makanan dan minuman.

Dia kagum melihat golongan ini hanya makan dan minum sekadar yang patut; tidak disimpan dan dibawa balik untuk dimakan esok lusa.

Tiada istilah panik dalam kamus hidup mereka; barangkali mereka juga sedar dekat mana harus disimpan makanan itu kerana mereka tidak punya rumah, tidak ada bilik atau dapur untuk menyimpan semua itu.

Khabarnya menteri sudah mengumumkan satu mesyuarat khas akan dijalankan untuk membincangkan kebajikan gelandangan agar mereka tidak menjadi jemaah korona.

Tetapi demikianlah tipikal kerajaan berurusan: buat mesyuarat untuk memutuskan perlunya satu mesyuarat khas dan selepas mesyuarat khas itu diadakan, ada kemungkinan besar satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan untuk melaksanakan langkah-langkah menjaga kebajikan gelandangan.

Waktu itu - ketika langkah-langkah itu hendak dilaksanakan, entah berapa ramai sudah gelandangan yang sudah menjadi jemaah korona.

Ditambah pula dengan kawalan pergerakan sekarang ini, pastinya bekalan makanan untuk gelandangan akan terhad - bahkan masjid juga tidak dibuka untuk mereka mandi dan membersihkan diri.

Kalau yang sudah punya anak dan perempuan gelandangan yang datang bulan, bagaimana agaknya mereka menguruskan diri.

Kusut dia memikirkan semua itu. Sekusut kawan sekelasnya, Josh, yang berkongsi cerita di whatsapp group tentang pelarian dan pekerja yang tidak punya dokumen.

Bertambah kusut apabila Tiqah pula berkongsi cerita orang asli yang terputus bekalan kerana pergerakan mereka sudah terbatas.

Tak henti di situ, Ismail pula menambah cerita ibu bapanya yang berniaga di pasar malam. Tiada lagi duit akan masuk untuk dua minggu ini, ujarnya.

Sama nasib seperti mereka yang bekerja gaji seharian. Pemandu teksi, tukang urut….ah semakin kusut kalau terus membaca mesej-mesej tersebut!

Dan mereka ini semua juga sangat terdedah dan cenderung untuk menjadi jemaah korona.

Kekusutan itu tidak tertempias kepada salah seorang kawan kelasnya, Kumar, yang punya motorsikal. Menurut kawannya itu, sekarang adalah masa yang terbaik untuk beliau mendapat duit poket lebih dengan menjadi penghantar makanan.

Setidaknya, dia boleh menabung sedikit untuk membayar pinjaman PTPTN yang tidak terhapus meski ahli politik bersilih ganti memasukkan dalam manifesto mereka untuk menghapuskan pinjaman ini.

Sementara kawannya yang lagi satu pula berkongsi cerita bagaimana sungai di Venice kembali menjadi bersih dan pencemaran di China jatuh mendadak sejak lahirnya korona.

Pencemaran udara di sekitar kawasan UiTM juga akan berkurangan sebab tiada pelajar yang akan membawa kereta untuk menghadiri kuliah, tambah kawannya yang lagi satu itu.

Dia pula masih lagi ragu apa sumbangannya dalam keadaan ketika ini; dia hanya duduk di rumah kawannya dengan menghabisi buku-buku yang mereka beli di pesta buku Big Bad Wolf tahun lepas dan membantu keluarga kawannya itu menyiapkan makanan.

Meskipun “social distancing” menjadi satu cara terbaik untuk mengelakkan diri daripada menjadi jemaah korona (dan bukannya air suam) tetapi hubungan persahabatan dia dan kawannya menjadi akrab dan ibu bapa dia tidak putus-putus mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa kawannya kerana sudi menerima tumpangan dia selama dua minggu ini.

Mungkin ini sumbangan kita, kata kawannya itu. Duduk di rumah dan tidak menyahut seruan menjadi jemaah korona.

Ini juga peluang untuk kita merefleksi keadaan diri sebagai manusia yang kadang-kala berperangai seperti “virus” terhadap sesama manusia, haiwan dan alam sekitar. Dengan tidak menjadi jemaah korona, itulah sumbangan terbesar kita pada negara ini, ujar kawannya.

Dengan tidak menjadi jemaah korona, itulah sumbangan terbesar kita pada negara ini, ulangnya sekali lagi.

Dan tidak pernah dia merasa bangga menjadi rakyat Malaysia seperti hari itu.


ZHARIF BADRUL adalah seorang peguam dan penulis yang gemar berciap di akaun twitternya @zharifbadrul6.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS