Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

KORONAVIRUS | Satu lagi kematian akibat Covid-19 dicatatkan di negara ini menjadikan jumlah keseluruhan kepada 11 orang.

Kali ini ia melibatkan seorang lelaki berusia 70 tahun yang menghembus nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Canselor Tuanku Muhriz HCTM di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.

Menurut pekeliling dikeluarkan HCTM dan dilihat Malaysiakini, pengarahnya, Dr Hanafiah Harunarashid berkata lelaki terbabit disahkan meninggal dunia malam tadi selepas dimasukkan ke situ pada 18 Mac lalu akibat batuk dan demam.

"Pesakit yang mempunyai latar belakang penyakit jantung dan darah tinggi ini didapati memerlukan bantuan pernafasan setelah keadaannya bertambah tenat," katanya.

Menurut Hanafiah kenyataan lanjut mengenai kes itu akan dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah dalam laporan berkala beliau nanti.

Sementara itu Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, turut mengesahkan kematian ke-11 itu kira-kira jam 11.40 pagi tadi.

Katanya, kes positif ke-1,070 itu melibatkan warganegara Malaysia yang mempunyai latar belakang penyakit kronik.

"Beliau mempunyai sejarah perjalanan ke Indonesia pada bulan Feb 2020.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga dimaklumkan bahawa allahyarham merupakan pengerusi surau di kawasan beliau," katanya.

Noor Hisham menambah, lelaki terbabit mula menunjukkan gejala seminggu sebelum dimasukkan ke hospital.

"Beliau disahkan positif Covid-19 pada 19 Mac dan diberi bantuan pernafasan di ICU.

"Kesihatannya merosot hari demi hari dan disahkan meninggal dunia pada 9.05 malam," katanya.

Setakat petang semalam, sebanyak 1,306 kes positif Covid-19 direkodkan oleh KKM. Sebanyak 22 daripada pesakit kini ditempatkan di ICU dan diberikan alat bantuan pernafasan.

Laman sesawang Worldodometer menyatakan seramai 14,687 orang sudah terbunuh di seluruh dunia akibat virus tersebut setakat ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS