Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Kira-kira 3 juta masih ingkar arahan PKP - ATM
Diterbitkan:  Mar 23, 2020 11:43 AM
Dikemaskini: 3:43 AM

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyifatkan bilangan 10 peratus atau kira-kira 3 juta rakyat negara ini yang masih ingkar mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Walaupun pematuhan PKP mencapai kadar pematuhan 90 peratus, namun kita tidak boleh memandang enteng dengan jumlah 10 peratus yang masih ingkar.

“Peratusan tersebut melibatkan kira-kira 3 juta orang dan ia merupakan satu jumlah yang besar,” kata ATM dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, ATM akan membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memupuk disiplin dalam kalangan rakyat untuk mematuhi perintah dan arahan sah dikeluarkan pihak berkuasa bagi membendung Covid-19.

“Kolaborasi ATM/PDRM ini tidak perlu dipertikaikan terutama sejauh mana peranan yang dibawa oleh ATM.

“Ini kerana kita perlu bertindak segera dalam apa jua cara dalam menangani wabak ini,” kata ATM.

Pihak angkatan tentera juga bersetuju supaya lebih tumpuan penguatkuasaan perintah PKP ini diberi kepada kawasan berisiko tinggi.

Ini termasuk seperti pasar dan pasar raya di mana orang ramai sehingga kini didapati masih bersesak dan tidak mengamalkan penjarakan sosial.

“Orang ramai dinasihatkan tidak mudah terpengaruh dengan sebarang berita tular terutama membabitkan maklumat, gambar, video atau rakaman suara menunjukkan atur gerak ATM pada skala besar, mahu pun perlakuan tidak munasabah bakal diambil anggota tentera.

“Ini kerana, ia boleh mencetuskan kebimbangan serta panik, sekali gus menunjukkan kaedah tidak benar dalam penguatkuasaan PKP,” katanya.

Sabtu lalu, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador dilapor berkata pematuhan orang ramai pada hari keempat PKP adalah lebih tinggi berbanding peringkat awal pelaksanaannya.

Ini berbanding pada hari pertama PKP dilaksanakan apabila Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob yang juga adalah menteri pertahanan memberitahu kadar pematuhan adalah sekitar 60 hingga 70 peratus sahaja.

Susulan itu, sejak semalam ATM mula membantu PDRM membuat rondaan, sekatan jalan raya, mengaawal hospital dan sempadan, kawasan luar bandar serta berisiko tinggi.

“Secara keseluruhan, seramai 7,500 anggota ATM ditugaskan untuk membantu PDRM.

“Di mana anggota-anggota ATM daripada ketiga-tiga perkhidmatan ditugaskan di 405 lokasi Sekatan Jalan Raya dan 272 lokasi adalah rondaan MPV (Mobile Patrol Vehicle) di seluruh negara setiap hari.”


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS