Paling Popular
Terkini

ULASAN | Suatu hari pada Mac 1977. Pesawat Boeing 747 milik Koninklijke Luchtvaart Maatschappij - atau KLM Royal Dutch Airlines - mendarat di Lapangan Terbang Los Rodeos yang kecil di Kepulauan Canary, Sepanyol.

Di dalam perutnya ada 248 manusia - termasuk 14 kru - yang beberapa jam sebelum itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Schipol di Amsterdam, Belanda, menuju destinasi asal, Gran Canaria, juga di kepulauan sama.

Hajat pesawat KLM itu untuk mendarat di Gran Canaria tergendala gara-gara serangan bom pengganas pada tengah hari itu. Maka semua pesawat udara yang menuju lapangan terbang berkenaan terpaksa dialihkan ke Los Rodeos. Tidak ada sesiapa yang mahu ia berlaku begitu, tetapi semua tidak ada pilihan.

Insiden serangan bom itu juga menjadikan lapangan terbang kecil Los Rodeos sesak dengan pesawat udara.

Sejurus selepas pesawat udara itu mendarat, datang pula Boeing 747 Pan Am yang berlepas dari Lapangan Terbang John F Kennedy di New York. Matlamat pesawat udara yang itu juga sama - Gran Canaria.

Serangan pengganas memaksa pesawat Pan Am - yang dinamakan sebagai Clipper Victor - itu turut mendarat di Los Rodeos. Di dalamnya 380 penumpang dan sembilan anak kapal.

Petang 27 Mac itu juga - tanpa diduga sesiapa - menyaksikan kedua-dua kapal terbang itu tidak akan pernah lagi melayang di udara. Clipper Victor dan Rijn - atau The Rhine - yang dilabelkan untuk pesawat KLM itu serentak mengalami nasib sama beberapa jam kemudian. Berkecai.

Kapten pesawat Rijn KLM itu - Jacob Veldhuyzen van Zanten - adalah juruterbang yang sangat berpengalaman.

Pada peringkat awal - semasa mula-mula KLM mendapat tahu mengenai tragedi kedua terburuk dalam sejarah penerbangan tersebut berlaku - mereka mahu menghantar van Zanten sebagai ketua penyiasat.

Masih bergerak perlahan-lahan

Khabar bahawa Rijn itu kemalangan di tangan van Zanten sangat mengejutkan KLM.

Tragedi yang membunuh 538 penumpang dan anak kapal itu sebenarnya boleh dielakkan. Ia berpunca daripada masalah komunikasi di antara juruterbang dengan petugas di menara kawalan.

Pesara Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan AS, Lloyd C LaGrange Sr, 72, yang mengetuai siasatan tragedi berkenaan mendapati berlaku salah faham - atau kegopohan - semasa komunikasi berlangsung.

"You are clear," kata pegawai di menara kawalan.

Di dalam kokpit pesawat udara KLM itu, van Zanten bersama pembantunya - Klaas Meurs, 42, dan jurutera penerbangan, Willem Schreuder, 48 - menganggap landasan sudah selamat dan mereka dibenarkan berlepas.

Dalam keadaan berkabus tebal ketika itu mereka tidak tahu Clipper Victor sedang bergerak perlahan-lahan landasan sama, tetapi dari arah bertentangan.

"OK, bersedia untuk berlepas. Saya akan menghubungi kamu," kata pegawai di menara kawalan kepada Rijn.

"Tidak, uh... kami masih bergerak di landasan," kata salah seorang dalam kokpit pesawat Pan Am yang mendengar komunikasi itu.

Namun komunikasi di antara kokpit Clipper Victor dengan menara kawalan itu gagal ditangkap dengan jelas oleh radio dalam pesawat KLM.

"Oh, ya," kata van Zanten, dan menurut LaGrange, ia membayangkan bahawa kapten kapal terbang KLM itu menyangka landasan di depannya selamat untuk berlepas.

Mereka memang kemudian menyedari Clipper Victory ada di depan dan belum lagi sempat membelok seperti diarahkan pengawal lalu-lintas udara. Namun semuanya sudah terlambat. Kedua-dua Boeing 747 itu berlanggar mengakibatkan kemusnahan yang dahsyat.

Mengolah kebencian ramai

Hal-hal berkaitan komunikasi sebenarnya sentiasa penting dan asas. Ia boleh menentukan jatuh bangun sebuah negara, memisahkan hidup dan mati nyawa manusia. Komunikasi juga boleh menjayakan atau menggagalkan suatu rampasan kuasa.

Komunikasi yang berjaya dimanipulasi dengan baik juga bertanggungjawab membuat seorang perdana menteri Malaysia meletak jawatan baru-baru ini.

Kerana itu apabila berlaku krisis politik atau kudeta, antara lokasi yang paling awal mahu dipastikan dalam kawalan ialah jabatan atau kementerian membabitkan komunikasi. Stesen radio dan televisyen, misalnya.

Ia adalah pusat dan sumber propaganda. Sama ada ia memancarkan mesej yang benar atau tidak, positif atau negatif, ia adalah hal yang lain. Asasnya ialah, komunikasi itu mesti dikuasai.

Hal itulah yang gagal difahami Pakatan Harapan (PH) sebelum ini. Atau - melihat kepada apa yang berlaku pada akhir Feb lalu - ia memang sengaja dibiarkan agar tidak difahami untuk mengolah kebencian ramai kepada PH.

Sekian banyak pembaharuan dilakukan bersama-sama, ia kemudian dikambus oleh kempen propaganda media sosial bersalut pembohongan yang berkesan dimainkan oleh penyokong BN, PAS dan segelintir orang dalam Bersatu.

Menteri yang diletakkan menjaga Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) oleh PH tidak mampu memberi penjelasan atau menjawab tohmahan. Sama ada dia leka, takut atau tenggelam punca, dia tetap perlu dipersalahkan.

Apabila kerajaan berubah, cemerkap menteri dan kementerian itu masih tidak berubah. Yang berubah cuma PH menjadi PN (Perikatan Nasional). Dan nama menterinya.

Dalam 'perang' melawan kuman Covid-19 sekarang, belum nampak lagi keberkesanan KKMM untuk memahamkan rakyat mengenai apa yang sebenar-benarnya berlaku, sedangkan itulah sepatutnya tugas penting mereka.

Dalam tempoh berbulan madu

Sesetengah menteri masih sibuk dan khayal bergambar, sama ada mabuk beraksi seakan-akan Prince Charming di tepi cermin tingkap pejabat sambil menikmati pemandangan di luar, atau khayal dengan lagak memegang telefon.

Matlamat kedua-duanya mungkin berbeza. Satu, untuk menunjukkan kejayaan mereka menjadi kerajaan baru. Kedua, untuk membuktikan mereka sekarang benar-benar sibuk. Tapi kedua-duanya dipertemukan oleh mauduk yang sama: Perasan.

Khabarnya, 'kesibukan' itu untuk rakyatlah. Pergi matilah mandat yang diberikan rakyat kepada mereka sebelum ini. Rakyat hanya diambil kira semasa kuasa undi ada di tangan mereka.

Kemudian keluar pula arahan kepada orang ramai mengenai cara-cara menghadapi ancaman Covid-19. Sesuai dengan sifat wabak itu yang tidak pernah wujud sebelum ini, arahan yang keluar juga menjadi janggal dan nadir.

Kalau ditanyakan kepada perdana menteri atau menteri-menterinya, tentulah mereka tidak akan keliru. 'Mustahil' menteri yang sesetengahnya sedang berbulan madu dengan jawatan baru itu keliru.

Boleh dikatakan semua mereka berpengalaman sebagai menteri, atau sekurang-kurangnya wakil rakyat. Sebahagiannya sedang menjilat-jilat parut luka selepas dihumban rakyat daripada jawatan dalam kabinet selepas BN dikalahkan pada 9 Mei 2018.

Peraturan cipta kekalutan

Kini mereka kembali bersemayam di kerusi sedap dan empuk di Putrajaya. Dalam banyak keadaan, kesulitan mencari sesuap nasi atau sebuku roti mungkin tidak pernah pun mereka alami.

Cuma lima tahun sekali, mereka akan tiba-tiba menjadi manusia yang sangat memahami jerih perit rakyat untuk kemudian kembali menjadi elitis yang terawang-awang di udara.

Pelbagai arahan atau perintah dikeluarkan. Ia menjadi malang apabila jargon yang digunakan tidak jelas, kelabu atau mencapah daripada pemahaman orang awam.

Social distancing, penjarakan sosial, perintah kawalan pergerakan, larangan bergerak antara negeri, kumulatif, pandemik, mitigasi dan simptom adalah antara istilah yang fasih serta lancar pada lidah-lidah para menteri.

Namun ia mungkin sangat langka di telinga orang lain yang seharian jerih mencari sesuap nasi. Kemudian apabila ada yang keluar rumah, kita pun jadi marah-marah dan menyumpah.

Itu belum lagi arahan yang kadang-kadang bercanggah di antara satu pihak berwajib dengan pihak berwajib lain. Kaedah yang betul untuk memakai penutup hidung dan mulut, misalnya. Atau peraturan yang mewajibkan pemakaian topeng

Mujur jugalah ada satu kumpulan lagi dalam kerajaan - yang sentiasa mabuk dengan istilah-istilah Arab itu - tidak menyibuk untuk bersuara. Kalau ada pun, mungkin cuma 1 peratus saja. Jika tidak, mungkin akan lebih haru-biru kita dibuatnya.

Arahan, maklumat dan fakta mesti disalurkan dengan semudah mungkin. Ada istilah yang sedap didengar dan kelihatan canggih tetapi ia mungkin hanya sesuai untuk telinga golongan pertengahan atau atasan.

Cara memerangi kuman bukannya boleh dibuat melalui bisik-bisik, sembunyi-sembunyi atau bersalut kod rahsia tertentu seperti Langkah Sheraton. Kerana biasanya yang berbisik-bisik memberikan ilham, was-was, wasangka - antara kaum milsanya - dan gerak hati membawa kepada pengkhianatan itu adalah kerja syaitan.

Kemudian muncul pula menteri memberikan petua yang sebelumnya sudah ditolak oleh sains dan pakar perubatan. Sebagai menteri, apa yang diperlukan rakyat ialah fakta, bukan auta.

Kemudian - selepas diketawakan - dia muncul senyap-senyap di media sosial pada awal pagi. Pada waktu sedap untuk mana-mana orang tidur dan bermimpi.

Langkah yang sedang dibuat sekarang sepatutnya untuk menyelamatkan nyawa semua orang, daripada perdana menteri hingga ke gelandangan. Tanpa kecuali, semua orang berhak untuk hidup.

Komunikasi wajib dilakukan secara tuntas, mudah dan jelas. Sepatutnya para elitis boleh menunggu untuk seketika - sehingga tiba masa yang lebih tenteram - untuk menuturkan jargon-jargon yang jarang didengar oleh orang kampung.

Nanti apabila tiba masa yang damai, kamu bolehlah melayan keseronokan sendiri dengan istilah-istilah khusus atau pinjaman daripada bahasa asing itu. Buat masa ini, bersederhanalah. Bersimpati kepada orang ramai yang kadang-kadang keliru dan selalu meneka-neka apa sebenarnya yang mahu disampaikan dari Putrajaya sana.

Tragedi di Los Rodeos itu memang tidak membunuh semua nyawa di kedua-dua kapal terbang. Daripada jumlah keseluruhan 644 penumpang dan anak kapal kedua-dua pesawat udara itu, ada 61 orang yang terselamat. Semua mereka yang selamat itu berada dalam pesawat udara Pan Am.

Lagi beberapa hari, genaplah usia kemalangan itu menjadi 43 tahun. Kita perlu belajar daripada tragedi berkenaan semasa melawan Covid-19. Kita perlu menyelamatkan sebanyak mungkin nyawa.

Komunikasi yang berkesan, tepat dan jelas adalah kuncinya.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang gemar meminum air suam selepas menyedari bahaya mengambil kata-kata manis ahli politik. Dia menciap di Twitter melalui @orang_kertas.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS