Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Memang ada kakitangan Hospital Teluk Intan dijangkiti Covid-19
Diterbitkan:  Mar 23, 2020 8:51 AM
Dikemaskini: 1:27 AM

KORONAVIRUS | Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, mengesahkan beberapa kakitangan Hospital Teluk Intan (HTI) disahkan dijangkiti wabak Covid-19.

Katanya, HTI tahu bahawa ada berita ditularkan di media sosial bahawa berlaku peningkatan bilangan kes positif Covid-19 dalam kalangan doktor sehingga menyebabkan operasi harian di situ terganggu.

"Beberapa kakitangan perubatan disahkan positif Covid -19. Bagaimanapun, langkah-langkah keselamatan dan pencegahan diambil dengan segera serta pemantauan rapi dilaksanakan secara berterusan," katanya dalam satu kenyataan awal hari ini.

Menurut Noor Hisham pihak pengurusan HTI juga mengambil tindakan melakukan pengawalan rapi dengan bantuan Pejabat Kesihatan Daerah Hilir Perak.

Tindakan pencegahan untuk meminimumkan pendedahan terhadap kakitangan HTI pula, katanya, menjadi aktiviti utama sejak kes pertama jangkitan positif Covid-19 dikenal pasti.

Covid-19 masih menjadi ancaman utama di negara ini ketika perintah kawalan pergerakan memasuki hari keenam hari ini.

Semalam Malaysia mencatatkan korban ke-10 wabak berasal dari Wuhan, China itu. Jumlah keseluruhan kes positif pula meningkat menjadi 1,306.

Data semasa juga menunjukkan berlaku peningkatan kes melebih 100 orang untuk lapan hari berturut-turut sehingga semalam. 

Setakat ini seramai 19 kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan lima petugas syarikat kemudahan perubahan swasta dijangkiti wabak tersebut. Bagaimanapun jangkitan membabitkan kakitangan KKM itu bukan disebabkan kegagalan mereka mematuhi peraturan yang ditetapkan semasa mengendalikan pesakit.

Kenyataan Noor Hisham pagi ini dipercayai merujuk kepada hantaran di media sosial yang tular - tetapi tidak dapat disahkan - yang mendakwa ada kakitangan di HTI positif Covid-19.

Hantaran itu menyalahkan pihak pengurusan HTI kerana tidak melakukan ujian saringan kepada kakitangan hospital terbabit selepas seorang daripada petugasnya disyaki mengalami wabak berkenaan.

"Orang ramai digesa agar tidak menularkan sebarang berita yang tiada kesahihan kerana dibimbangi mencetuskan kegusaran orang ramai," kata Noor Hisham.

Semalam seorang doktor berusia 48 tahun menjadi korban kesembilan Covid-19 di negara ini dan menjadi kakitangan perubatan pertama meninggal dunia akibat wabak tersebut.

Bagaimanapun, mangsa itu bukan kakitangan barisan depan yang mengendalikan pesakit Covid-19. Sebaliknya kes itu mempunyai kaitan dengan kunjungannya ke luar negara.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS