Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN | Sejak krisis Covid-19 ini meledak, dua jenis rangsangan ekonomi telah diumumkan, masing-masing oleh Perdana Menteri ke-7 Dr Mahathir Mohamad (27 Feb 2020) dan Perdana Menteri ke-8 Muhyidin Yasin (6 Mac 2020).

Pakej rangsangan pertama ketika Covid-19 ini baru sahaja menular berjumlah RM20 bilion, manakala pakej rangsangan kedua ketika bencana kini menjadi lebih teruk berjumlah RM620 juta.

Pada pakej rangsangan kedua, antara lain ia merangkumi 2 peratus diskaun bil elektrik (RM500 juta), dan bantuan RM600 sebulan kepada pekerja yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji (RM120 juta).

Ini jelas tidak mencukupi, dan pakej rangsangan ekonomi yang lebih besar harus dilakukan serta-merta jika kita hargai nyawa semua rakyat Malaysia.

Yang penting, bantuan segala bentuk kepada sektor perubatan dan kesihatan haruslah diberikan tanpa batasan, polisinya mudah aja: ‘whatever it takes’ (buat apa saja yang diperlukan).

Keutamaan negara ketika ini hanyalah memastikan rakyat Malaysia hidup.

Ini bukan masanya untuk berkira-kira mengenai defisit fiskal, jumlah hutang negara, kadar pertumbuhan ekonomi, tanggapan ‘credit rating agencies’, ataupun berpolitik.

Yang penting adalah ketelusan dan kecerahan polisi, dan keberkesanan pelaksanaan untuk mengembalikan keyakinan rakyat.

Strategi serampang tiga mata

Saya syorkan di sini strategi ekonomi serampang tiga mata, iaitu memberi pendapatan kepada rakyat Malaysia terutamanya mereka yang bekerja sendiri, membantu syarikat kecil dan sederhana untuk terus bertahan, dan memastikan bekalan makanan mencukupi.

Krisis ini akan memberi impak yang lama kepada negara, dan tidak hanya untuk beberapa bulan sahaja. Maka bantuan yang diberikan haruslah bersifat jangka pendek dan jangka panjang.

Pertama, bantu mereka yang hilang mata pencarian, terutamanya pekerja sendiri, dan mereka yang terjejas teruk, termasuk majikan.

Data menunjukan 9 dari 10 rakyat Malaysia tidak mempunyai walaupun RM1,000 dalam simpanan, dan ini bermaksud jika mereka hilang mata pencarian dalam tempoh sebulan, mereka atas terus termasuk dalam golongan miskin.

Kerajaan harus proaktif dengan memberi bantuan kepada semua pekerja yang mempunyai pendapatan bulanan kurang dari RM5,000 sebulan (ataupun 72 peratus dari seluruh pekerja di Malaysia).

Bantuan boleh diberikan dalam dua bentuk, pertama, kepada yang bekerja sendiri, bantuan RM1,000 sebulan diberikan, dan kedua, pada mereka yang bekerja makan gaji, kerajaan boleh memberi subsidi gaji sebanyak RM1,000 sebulan setiap pekerja kepada majikan untuk memastikan supaya syarikat tidak membuang pekerja.

Untuk permulaan, ia boleh dilaksanakan selama 3 bulan bermula April ini. Ini akan menelan belanja sebanyak RM 26 bilion.

Kawal harga barangan utama

Kedua, pakej rangsangan terdahulu memberi penangguhan membayar cukai dan bantuan pinjaman kewangan kepada syarikat kecil dan sederhana. Ini tidak memadai.

Banyak syarikat akan gulung tikar, dan ini akan memberi impak negatif jangka masa panjang. Jika kita secara konservatif unjurkan 10 peratus syarikat kecil dan sederhana gulung tikar, ini bersamaan dengan seramai 1 juta akan hilang pekerjaan.

Ini harus dielak sama sekali. Matlamat utama strategi ini adalah untuk memastikan syarikat kecil dan sederhana bertahan. Cukai perniagaan haruslah dikurangkan kepada semua syarikat dan individu untuk tahun ini.

Bank dan syarikat pembiayaan juga disyorkan supaya mengurangkan (bukannya melengahkan) hutang pinjaman untuk beberapa bulan. Subsidi gaji boleh membantu menangi kos mereka.

Harus diingatkan, bantuan ini tidak harus digunakan untuk ‘bail-out’ syarikat, tetapi membantu pekerja mereka secara terus.

Ketiga, bantuan besar besaran harus diberikan kepada pengeluar makanan secepat mungkin untuk memastikan negara tidak menghadapi masalah bekalan makanan.

Kita mengimport hampir 25 peratus dari keseluruhan jumlah bekalan makanan, ataupun lebih dari RM50 bilion setahun. Krisis ini pastinya akan merencatkan pengeluaran bekalan makanan ke Malaysia pada masa terdekat ini.

Matlamat utama strategi ketiga adalah untuk kita tidak kelaparan dan kebuluran! Tabung AgroFood sebanyak RM1 bilion oleh Bank Negara Malaysia yang diumumkan oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir pada pakej rangsangan pertama itu haruslah dibesarkan lagi secepat mungkin kepada sekurang-kurangnya RM10 bilion bertujuan bagi menggalakkan aktiviti pengeluaran makanan, terutamanya bagi memenuhi permintaan domestik. Pengecualian MCO kepada sektor dan pekerja yang terlibat dalam sektor makanan haruslah diberikan segera.

Pada masa yang sama, harga barang makanan utama juga haruslah diletak dalam kawalan, sama seperti musim perayaan supaya peniaga tidak menaikan harga barang sesuka hati.

Potong gaji CEO, lembaga pengarah GLC

Persoalannya, adakah kita mampu untuk memberi bantuan sebegini? Jawapannya jelas, ya! Tidak perlu risau jika defisit fiskal kita berganda, dan pertumbuhan ekonomi negatif. Harus diingatkan kembali, objektif kita hanya satu: ‘survival’. Yang lain, kita ketepikan dahulu.

Tidak ada ertinya jika kita masih mahukan kadar pertumbuhan ekonomi positif, dan kedudukan fiskal elok dan molek, jika rakyat mati dan negara huru-hara. Akta dan peraturan kewangan yang ada boleh di tangguhkan pada waktu kritikal ini.

Kita masih ada ruang. Defisit fiskal kini dalam lingkungan 3.4 peratus, secara relatif masih rendah berbanding 7 peratus pada tahun 2009 semasa krisis kewangan global, dan hampir 17 peratus pada awal 80-an.

Pada waktu kecemasan beginilah masanya untuk kita berbelanja untuk rakyat, dan gunakan simpanan negara seperti Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) yang berjumlah hampir RM 17 bilion, dan rizab negara yang melebihi RM400 bilion.

Apa gunanya menyimpan sehingga beratus bilion ringgit jika tidak mahu menggunakannya semasa kecemasan sebegini? Inilah fungsi simpanan.

Saya fikir ramai para menteri yang pandai lagi bijaksana dapat mencari jalan penyelesaian. Bukannya membuat kenyataan akbar meminta pandangan rakyat. Inilah masanya untuk memimpin.

Pada masa yang sama, eloklah jika semua menteri dan timbalan menteri dipotong gaji, dan hanya diberikan gaji simbolik RM1 sahaja untuk membantu rakyat dan negara sepanjang tahun ini.

Kesemua pengerusi, ahli lembaga pengarah, dan CEO syarikat berkaitan kerajaan (GLCs dan GLICs) disyorkan supaya gaji mereka dipotong 25 peratus.

Jika kementerian kewangan dan kerajaan masih kedekut dan ‘in denial’, akibatnya ramai rakyat Malaysia akan menerima padah. Masa untuk bertindak adalah sekarang.


MUHAMMED ABDUL KHALID merupakan pakar ekonomi dan penulis buku The Colour of Inequality: Ethnicity, Class, Income and Wealth in Malaysia.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS