Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis Tawau tahan 11 ahli tabligh pulang dari Sulawesi
Diterbitkan:  Mar 22, 2020 9:55 PM
Dikemaskini: 1:55 PM

Polis marin di Tawau, Sabah menahan 11 rakyat Malaysia yang dalam perjalanan pulang ke tanah air selepas menghadiri perhimpunan tabligh di Sulawesi, Indonesia.

Mereka kini dilaporkan telah kuarantin, dan sedang diuji untuk Covid-19.

"Kita masih tunggu hasil ujian.

"Pada 15 Mac, saya berjumpa pemimpin tabligh dan mereka memaklumkan saya bahawa kira-kira 85 orang (Malaysia) menghadiri perhimpunan itu.

"Jadi kita menjangkakan 80 hingga 100 rakyat Malaysia menghadirinya," katanya Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah seperti dilapor NST.

Kerajaan Malaysia sebelum ini memutuskan bahawa warga Malaysia yang ke Sulawesi, Indonesia untuk menyertai himpunan tabligh itu akan dikuarantin selama 14 hari sebaik kembali ke Malaysia.

Meskipun himpunan itu dibatalkan pada 19 Mac lalu susulan gesaan daripada pihak berkuasa Indonesia tetapi ribuan sudah berkumpul di Gowa, dekat Makassar.

Perintah kawalan pergerakan yang berkuat kuasa 18 Mac lalu menetapkan warga Malaysia yang pulang dari luar negara dibenarkan untuk menjalankan kuarantin secara sendiri.

Bagaimanapun Menteri Kesihatan Dr Adham Baba membayangkan kelonggaran itu tidak akan diberikan kepada warga Malaysia yang pulang dari Sulawesi.

Kebimbangan terhadap himpunan itu susulan himpunan sama di Masjid Sri Petaling di Kuala Lumpur pada 27 Feb hingga 1 Mac lalu, menyebabkan ramai peserta dijangkiti wabak Covid-19.

Himpunan itu menjadi kluster penularan Covid-19 terbesar di Malaysia, dengan majoriti daripada kesemua kes yang dikesan setakat ini mempunyai kaitan dengan acara itu.

Kerajaan negeri Sabah baru-baru ini mengumumkan bahawa semua yang ingin kembali dari Sulawesi akan dihalang daripada memasuki negeri itu.

Sabah setakat ini mencatatkan 158 kes positif Covid-19, dengan satu kematian melibatkan pesakit di daerah Tawau.

Negeri itu merupakan yang tertinggi jumlah kes positif Covid-19 selepas Selangor (309) dan Kuala Lumpur (183).

Jumlah kes jangkitan Covid-19 yang menyebabkan kematian di Malaysia kini mencacah 10 korban, dengan jumlah kes jangkitan keseluruhan 1,306.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS