Seramai 1,900 anggota polis dan sekitar 500 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terlibat dalam operasi perintah kawalan pergerakan (PKP) di negeri Kelantan, bermula hari ini.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, operasi tersebut melibatkan 36 lokasi yang sudah dikenal pasti.
"Operasi yang melibatkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ATM ini bermula pada jam 12 tengah hari, hari ini.
"Bagi negeri Kelantan ia melibatkan seramai 1,900 pegawai dan angota polis dan sekitar 500 orang tentera," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Terdahulu, Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media sebelum ini berkata tentera mula dikerahkan bagi membantu polis melaksanakan perintah kawalan pergerakan pada 12 tengah hari.
Selain itu, menteri kanan itu berkata tentera akan membantu polis di sekatan jalan raya dan rondaan serta di kawasan pasar, pasar raya bagi memantau pematuhan penjarakan sosial.
Penglibatan tentera itu melibatkan ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM akan bekerjasama membantu PDRM memantau dan memastikan orang awam mematuhi arahan perintah kawalan pergerakan yang dikuat kuasa kerajaan mulai 18 Mac sehingga 31 Mac.
Sementara itu Abdullah berkata, lokasi operasi dan sekatan jalan raya itu meliputi jalan-jalan utama di setiap daerah.
Justeru katanya, orang ramai diminta supaya akur dengan arahan dikeluarkan oleh kerajaan dan pihak berkuasa dalam usaha mengekang penularan Covid-19.
"Kita juga berharap masyarakat memberi kerjasama yang baik dan mengikut arahan yang diberikan pihak berkuasa dan kerajaan," katanya.