Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis, tentera akan kawal pasar dan pasar raya
Diterbitkan:  Mar 22, 2020 3:48 PM
Dikemaskini: 7:48 AM

Pihak polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mengawal pasar raya dan pasar basah berikutan masih ada yang tidak mematuhi larangan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Menteri Pertahanan, Ismail Sabri berkata, ini kerana masih terdapat ramai pembeli berasak-asak di premis berkenaan tanpa menjarakkan diri (social distancing) antara satu sama lain.

"Mesyuarat pagi tadi kami berbincang dan mendapati bahawa masih ada kawasan yang tidak mematuhi larangan iaitu di pasar dan pasar raya. Semua pelanggan bersesak-sesak membeli di pasar dan pasar raya.

"Apa yang kita nasihatkan supaya menjarakkan sebanyak 1 meter tidak dilakukan.

"Jadi, kita telah pun bersetuju untuk polis dan pihak tentera berada di kawasan pasar dan pasar raya dengan dibantu oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)," katanya dalam pengumuman khas selepas menghadiri mesyuarat khas menteri-menteri mengenai pelaksanaan PKP.

Masuk ikut giliran

Tambahnya, pelanggan mungkin akan diberi kebenaran masuk ke premis tersebut mengikut giliran untuk membeli barang.

"Mungkin satu kumpulan sekali masuk untuk membeli dan keluar. Ini kerana supaya tidak tertumpu serentak semua sekali kerana ini juga bahaya," katanya.

Ismail berkata kerajaan memahami bahawa rakyat perlu mendapatkan barang keperluan harian, namun langkah menjaga kesihatan juga penting.

"Jadi kita nasihatkan tolong renggangkan (jarak)," katanya.

Sementara itu Ismail Sabri berkata 10 peratus rakyat Malaysia yang enggan mematuhi perintah kawalan pergerakan masih merupakan satu angka yang besar.

"Walaupun laporan pihak polis kata 90 peratus menurut perintah, baki 10 peratus bukan satu jumlah yang kecil. Memandangkan kita ada 32 juta penduduk, 10 peratus bermakna 3.2 juta, (yang mana) masih ramai," katanya.

Wabak Covid-19 yang melanda seluruh dunia mengorbankan 9 nyawa di Malaysia setakat ini, dengan 1,183 kes direkodkan semalam. 

Bagi mengekang wabak berkenaan, kerajaan mengumumkan perintah kawalan pergerakan yang bermula 18 Mac lalu dan dijangka berakhir 31 Mac ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS